HULU TERENGGANU: Seorang pemuda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Dakwah tidak kisah bergelar tukang cuci walaupun ada yang memandang sinis kerjayanya itu.
Muhammad Zuhdi Abu Bakar, 26, dari Kampung Langgar, di sini, menjana pendapatan antara RM180 hingga RM3,500 bagi setiap tugasan bergantung jenis rumah, premis serta lokasi.
Katanya, dia mula menceburi bidang itu sekitar tahun 2019 sewaktu tahun pertama belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus bagi mencari duit poket terutama semasa cuti semester.
“Berbekalkan peralatan asas mencuci, saya ambil upah cuci rumah pensyarah dan bergerak dari rumah ke rumah mencari pelanggan. Semuanya dilakukan seorang diri ketika itu.
“Kemudiannya seorang rakan saya berminat. Seingat saya tugasan pertama kami bersama ialah bersihkan tiga tandas di sebuah rumah di Kuala Terengganu, kami dapat upah RM60 dan rasa seronok sukar diungkap dengan kata-kata.
“Kini, setelah lebih kurang empat tahun lakukan kerja-kerja mencuci ini, saya terima lebih 20 tempahan setiap bulan, bukan sahaja rumah persendirian tetapi juga inap desa, premis perniagaan termasuk kilang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambah anak ketiga dari lima beradik ini, dia juga mempunyai seorang pekerja tetap serta empat pekerja sambilan manakala kawasan operasi menjadi fokusnya ialah daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang serta Kuala Nerus.
Kata Muhammad Zuhdi lagi, kerjaya sebagai tukang cuci juga tidak menjadi halangan buatnya yang sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Alam Sekitar dan Pelancongan di UniSZA.
“Walaupun jadual harian padat tetapi segalanya boleh berjalan lancar jika dapat diurus dengan baik antara kerjaya tukang cuci dan belajar. Biasanya malam saya akan fokuskan pada pembelajaran.
“Saya juga merancang untuk sambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) sekaligus capai impian bergelar pensyarah. Kerjaya tukang cuci diceburi kini akan dipastikan tidak terkubur sebaliknya bergerak seiring.
“Harapan saya untuk beri peluang pekerjaan pula kepada lebih ramai orang terutamanya golongan B40, ibu tunggal serta anak-anak muda untuk kita sama-sama berkongsi rezeki,” ujarnya.
Kata Muhammad Zuhdi yang juga penulis buku ilmiah berjudul ‘Dinamika Alam Sekitar’ terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lagi, tukang cuci juga satu profesion yang mampu menjana pendapatan sekiranya diurus dengan baik walaupun dipandang rendah. -UTUSAN