BAYAN LEPAS: Parti Gerakan mengalu-alukan Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, pihaknya akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Tertinggi PN bulan ini bagi mendapatkan pandangan serta persetujuan semua parti komponen PN.
“Pendirian Gerakan ialah kita mengalu-alukan Muda menyertai PN tetapi PN ada prosedurnya.
”Apa-apa juga perkara mesti melalui mesyuarat Majlis Tertinggi PN, Gerakan akan bawa isu ini ke mesyuarat PN yang akan datang,” katanya selepas menjalankan tinjauan di Pasar Pagi Sungai Ara, di sini hari ini.
Sebelum ini, Syed Saddiq secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Syed Saddiq berkata, beliau sudah memaklumkan pendirian diambilnya itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.
Menurut Dominic, Gerakan berpendapat Muda boleh bersama-sama PN sama ada sebagai parti komponen atau sahabat PN memandangkan parti Muda mempunyai objektif yang sama dengan PN iaitu menentang rasuah.
”Objektif kita dan Muda memang sama iaitu anti rasuah dan perkara ini boleh dilihat ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kita ada mesej yang jelas dengan slogan PNBest, iaitu bersih dan stabil.
”Kerajaan sekarang mereka tidak bersih, tidak ada integriti, Ahmad Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) yang ada 47 pertuduhan pun boleh lepas,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada Gerakan pernah bersemuka dan mempelawa Syed Saddiq untuk menyertai PN, Dominic berkata, beliau pernah menyatakan hasrat itu secara tidak formal ketika bertemu dengan Syed Saddiq di Parlimen baru-baru ini.
”Syed Saddiq hanya tersenyum dan kita lihat respondnya mungkin positif, tetapi apa pun PN ada prosedur,” katanya.
Dalam pada itu, Dominic berkata, Syed Saddiq tidak perlu melayan gesaan beberapa pihak yang mahu beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.
“Saya harap beliau tidak ambil peduli dengan gesaan-gesaan itu kerana yang perlu meletakkan jawatan adalah menteri Kerajaan Perpaduan, bukannya Syed Saddiq.
“Ini kerana, mereka cakap tidak betul, dahulu kata lawan rasuah tetapi kini bersama-sama perasuah pula,” katanya. – UTUSAN