“GEMUK, Ujang, Milah dan Ramona. Panggil sahaja nama ini, terkedek-kedek datang hendak makan.”
Itu perkongsian suri rumah, Lina Sham berhubung sekawan itik yang dibela di belakang rumahnya.
Kongsinya, hobi membela itik bermula, selepas anaknya yang bersekolah rendah, merengek untuk dibelikan anak itik dari sebuah kedai haiwan tahun lalu.
“Anak saya suka haiwan, dia minta belikan anak itik yang pada pandangannya sangat comel. Bertitik tolak daripada itulah, cinta saya jatuh kepada itik. Hingga kini ada dalam 40 ekor itik belaan kami,” katanya sewaktu ditemui di kediamannya di Jalan Air Puteh, Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka baru-baru ini.
JANJI CUKUP AIR
Ibu dua anak ini menjelaskan, membela itik tidaklah terlalu sukar kerana aspek paling penting ialah untuk memastikan haiwan berkenaan dibekalkan air mencukupi untuk keselesaannya selain habitatnya
yang sememangnya tidak boleh berpisah daripada sumber air.
“Itik suka berendam. Dia nak badan sentiasa basah baru rasa sihat. Kalau tiada air dia akan rasa monyok dan hilang mood. Macam manusia juga bila seharian tak mandi.
“Mujur ada anak sungai di belakang rumah ini. Sekali gus ia menjimatkan kos. Dulu saya pernah buat kolam untuk itik mandi sebab risau untuk melepaskan itik ini ke sungai. Saya bimbang ia diserang binatang liar seperti ular dan biawak.
“Bagaimanapun bila semak di belakang rumah sudah ditebas, saya beranikan diri melepaskan itik ke
sungai. Menariknya, itik ini akan makan lumut-lumut dalam sungai.
“Tak semena-mena airnya bertukar jernih dan bersih,” katanya.
Mengenai aspek pemakanan, Lina memberitahu, itik makan dedak jagung dan dedak ayam dua kali sehari, iaitu pagi dan petang.
“Kalau itik daging, sebelum bertelur dia nak makan berat. Jadi, saya akan bagi makan nasi putih supaya cepat kenyang. Selalunya, saya tanak seperiuk nasi dan bagi, sampai esok pagi pun itik akan kekenyangan.
“Kadang-kala, saya tukar bagi makan sayur kangkung, sebab harga dedak pun sudah semakin mahal,” jelasnya.
Selain itik daging beliau turut membela itik telur, angsa dan ayam mutiara.
HOBI JADI DUIT
ITIK memberikan Lina rasa bahagia apabila anak-anaknya ringan tulang membantunya membersihkan reban itik.
Selain hobi mengisi masa lapang, membela itik turut mendatangkan manfaat serta menjimatkan kos membeli barang mentah di pasar buatnya keluarga kecilnya itu.
“Itik dewasa, boleh disembelih dan jadikan lauk. Jadi tak perlu pergi pasar sebab itik pun mahal harganya.
“Bila sendiri bela, kita tahu status kebersihannya. Jadi, kita masak lauk itik pun senang hati.
“Selalu saya buat itik masak lemak cili api, lauk berempah dan rendang itik,” katanya tersenyum.
Hobi berkenaan turut menjana pendapatan sampingan keluarga apabila jiran tetangga turut membeli telur dan itik daripadanya.
“Itik bertelur setiap pagi sepanjang dua ke tiga minggu. Selepas itu, dia akan berhenti bertelur dan ambil proses untuk bertelur semula. Menariknya, itik ini kadang-kala sambil berjalan pun boleh bertelur,” katanya.
TIPS BELA ITIK
Pastikan bekalan air mencukupi supaya itik kekal segar dan sihat.
Itik suka berendam, tidak bermasalah sekiranya terdedah dengan hujan.
Nasi putih membantu itik cepat kenyang berbanding dedak.
Itik telur akan berbunyi bising sekiranya telurnya diancam biawak. Pastikan kawasan sekitar tidak bersemak dan terang.