Gegar Vaganza 10: Kejuaraan yang disia-siakan? - Utusan Malaysia

Gegar Vaganza 10: Kejuaraan yang disia-siakan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dengan bersiarannya Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) dalam edisi All Stars Gegar Vaganza malam ini, sejujurnya saya sudah move on apabila Astro tidak mempertaruh penyanyi yang sudah lama hilang dari radar industri muzik tanah air, seperti yang biasanya.

Memilih mengulang tayang juara-juara dalam sembilan musim lalu iaitu Ayai (GV1); Siti Nordiana (GV2); Azharina Azhar (GV3); Aishah (GV4); Noryn Aziz (GV5); Hady Mirza dan Naqiu (GV6); Cliff Umar (GV7); Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9), saya bersedia menyaksikan kredibiliti mereka dicabar. Jika disingkir awal-awal, mereka yang memilih untuk ‘dihakimi’ semula.

Misi Astro bukan lagi berpaksi kepada mengangkat penyanyi-penyanyi yang sudah hilang jejak, tetapi, mengukur kreativiti dan bagaimana kesemua juara ini membawa seni persembahan mereka ke peringkat lebih tinggi darjatnya.

Sekalipun seorang daripada mereka dinobat juara sekali lagi, apakah persembahan itu dapat dicerminkan melalui penghasilan lagu yang mampu menembusi pasaran lebih besar selepas bertanding?

Saya tidak menafikan usaha mereka menghasilkan lagu berkualiti dan berimpak tinggi itu ada, namun, sama ada mereka yang terlalu cerewet memilih lagu, tidak bijak merangka kerjaya selepas bertanding atau khilaf memilih penerbit dan komposer. Maka, muncullah satu atau dua single yang biasa-biasa tanda mereka bangkit dan sendu kembali.

Mujur Siti Nordiana menjadi satu-satunya penyanyi yang istiqamah menyusuri banjaran seni selama dua dekad. Buktinya, lahirlah untaian lagu-lagu pop balada seperti Terus Mencintai, Nisan Cinta, Hatiku Milikmu, Sebenarnya, Satukan Rasa, Angkara, Sekali Lagi, Cukup Derita Itu, Amaran, Menyantun Kasih, Cintaku Masih Berdiri dan Arah Cinta.

Nana bijak memanfaatkan kejuaraan untuk tempoh yang sangat lama selepas GV2. Cuma, kalaulah Nana bersabar sedikit, portfolionya mungkin menjadi lebih cantik jika dia menerbitkan album pop penuh selepas kegagalan komersial Semakin Jelas (2011). Tidaklah dia hadir single demi single sahaja.

Azharina terus-menerus gagal menghasilkan naskhah berkualiti. Saya tidak sesekali lupa bagaimana Sekian Terima Kasih dan Lakar Janji diterbitkan di bawah pengurusannya sendiri, hadir sebagai karya benar-benar mengecewakan.

Andai kejuaraan Azharina hasil dukungan para peminat dan pendengar, saya kira penyanyi Elegi Sepi ini masih ‘berhutang’ kerana tidak melunaskan janji menghasilkan album studio ketiga, Cinta Terbagi Dua bersama Julfekar, yang diceritakan media tujuh tahun lalu.

Bercerita tentang Noryn, saya tidak meletakkan ekspektasi yang tinggi. Ya, beberapa lagu dihasilkan bersama Ajai iaitu Lepas, Aku dan Diriku dan O..O kini hanya menjadi khazanah yang tidak akan didengari sesiapa.

Memilih pula naskhah pop diadun rentak disco funk seperti “Kau” beberapa tahun lamanya selepas GV5, maka bermonologlah saya di dalam hati, “Ini sahajakah?”. Mungkin, Noryn memang tidak merancang mengembangkan naratif lagu-lagunya. Maka, kekallah dia sebagai penyanyi one hit wonder, Fantasi O Realiti.

Jaclyn Victor pakejnya cukup lengkap. Tetapi, saya mesti berlaku jujur. Dia tidak akan dapat mengulangi populariti Gemilang (2004). Dua single baharu, Perempuan (2022) dan Kembalilah (2023) sukar membawanya ke another level. Tidak salah jika Jac berbalik kepada formula Cepat-Cepat, Satu Harapan, Ikut Rentakku, Sebelah Jiwaku atau Seindah Mimpi yang lebih sesuai.

Tiada yang istimewa untuk saya cerita tentang Cliff Umar lebih-lebih lagi selepas dia tidak lagi peduli dengan industri muzik Malaysia. Apa rasionalnya dia muncul kembali? Bagi Ayai dan Aishah, di usia emas ini, apa lagi yang mahu mereka dibuktikan? Ya, mereka berdua juga ada produk baharu, tapi bukan dalam bentuk komersial.

Hady Mirza, nampaknya masih bergelut memberi naskhah yang benar-benar melekat. Jeda masa single, Cinta Sampai Di sini selepas GV6, terlalu jauh lalu menyukarkan lagu itu didekati pendengar Singapura dan Malaysia.

Sedangkan, Naqiue, rakan juara bersamanya terus berkembang menerusi Rindu Separuh Nyawa duet bersama Vanessa Reynauld. Walaupun hakikatnya, perjalanannya tidak semudah itu selepas mempertaruh karya di awal kemunculan semulanya menerusi Sinar Kedua (2020) dan Masih Ada (2021).

Aliff Aziz adalah kalangan juara termuda. Dia masih mempunyai perjalanan yang panjang. Penyanyi Sayang-Sayang ini tidak sepatutnya mensia-siakan kembara bermuziknya dengan naskhah yang biasa sahaja. Mempertaruh single berjudul Genggam, saya percaya lagu ini boleh pergi jauh jika dipromosi dengan lebih meluas.

Saya tahu, juara GV ini tidak dilahirkan untuk saling berlumba-lumba atau siapa lebih laku dalam mass market. Tentu sahaja ada banyak job di luar sana, cuma tidak mendapat liputan arus perdana.

Rezeki mereka tidak akan setanding Siti Nordiana. Namun, mereka harus berpegang kepada konsistensi dan tidak tersilap langkah memilih komposer. Hakikat yang harus diterima, peluang kedua sudah diberi dalam musim GV sebelum ini, namun, siapa sahaja yang benar-benar memanfaatkan kemenangan itu sebagai giveback kepada peminat yang menyokong mereka selama ini?

Andai ukuran prestasi mereka berdasarkan vokal, Tuhan sudah menciptakan mereka dengan bakat semula jadi. Maka, tiada lagi pertikaian suara mereka sedap atau tidak. Di GV10 ini, penonton berhak mendapatkan persembahan yang grand. Sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang boleh dikenang-kenangkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya