Garis panduan tangani buli, gangguan seksual di institusi pendidikan dilancar - Utusan Malaysia

Garis panduan tangani buli, gangguan seksual di institusi pendidikan dilancar

FADHLINA Sidek (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Program Sahsiah Terbilang Hentikan Buli Membentuk Anak Yang Baik Lagi Cerdik yang diadakan bersama pelancaran Garis Panduan Pengurusan Buli Buli dan Gangguan Seksual di Institusi Pendidikan di SM Sains Tun Syed Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini melancarkan Garis Panduan Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual di Institusi Pendidikan bagi menjelaskan tatacara pengurusan yang betul dalam menangani kedua-dua tingkah laku tersebut.

Pada masa sama, garis panduan itu turut menjelaskan mengenai peranan yang dimainkan oleh semua pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN); Pejabat Pendidikan Daerah (PPD); sekolah; agensi awam dan swasta dalam mendepani isu berkenaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dalam hal ini, pihaknya berterima kasih kepada jawatankuasa khas yang dilantik untuk tujuan itu selain rakan sinergi yang banyak membantu dalam urusan pengendalian salah laku buli dan gangguan seksual.

“Jadi, kita doakan dan berikan sepenuh komitmen bagi melaksanakan kedua-dua garis panduan ini bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Apa yang menjadi keutamaan kita adalah teras utama yang kita sebut sebagai ‘karamah insaniah’ ini dapat kita terapkan dalam penumpuan garis pelancaran ini untuk memelihara ‘human dignity’ atau maruah manusia dan penindasan terhadap maruah ini tidak akan berlaku lagi dalam ekosistem sekolah kita.

“Ini komitmen besar dan sebab itu juga saya sebut bahawa tiga ‘dosa besar’ di peringkat KPM iaitu ‘buli, gangguan seksual dan perkauman’ ini tidak akan kita kompromi dalam KPM. Insya-Allah, semoga kita semua diberi kekuatan untuk melaksanakan garis panduan ini dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

FADHLINA Sidek ketika melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Buli dan Gangguan Seksual di Institusi Pendidikan di SM Sains Tun Syed Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sahsiah Terbilang Hentikan Buli Membentuk Anak Yang Baik Lagi Cerdik yang diadakan serentak bersama pelancaran kedua-dua garis panduan itu di Sekolah Menengah (SM) Sains Tun Syed Shahabudin, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, garis panduan bagi kedua-dua salah laku itu akan digunakan di semua institusi pendidikan di bawah KPM yang bukan sahaja membabitkan sekolah, namun turut meliputi kolej matrikulasi, kolej vokasional, institut pendidikan guru (IPG) dan sebagainya.

“Dalam garis panduan itu nanti, apabila kita sudah keluarkan surat pekeliling, semua (institusi pendidikan berkaitan) akan dapat maklumat dan proses mengenainya (pelaksanaan).

“Kita bekalkan kepada mereka dengan semua komponen antaranya senarai semak, carta aliran dan aktiviti bagaimana untuk menguruskan perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, meskipun banyak kes salah laku berkaitan dilaporkan termasuk di media ketika ini, namun ia masih boleh dianggap terkawal memandangkan KPM mempunyai proses atau cara kerja yang efisien.

“Antara proses yang mereka lalui, sekiranya tidak berpuas hati dengan proses tersebut adalah melalui jawatankuasa muafakat ini (di peringkat institusi pendidikan).

“Dalam hal ini, mereka (termasuk mangsa) juga boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak berpuas hati dengan siasatan atau tindakan yang telah kita laksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya