Jururawat maut ‘di tangan’ suami, akibat cemburu

Gara-gara cemburu, jururawat maut ditikam suami

SUSPEK menaiki kereta berwarna hitam dibawa keluar dari lokasi kejadian kes bunuh isterinya di sebuah rumah di Kampung Padang Nyu, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Akibat cemburu dengan mengesyaki isterinya berlaku curang dipercayai menjadi punca seorang suami bertindak menikam isterinya dengan sebilah pisau di bahagian kiri dada wanita berkenaan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, dipercayai terjadi pergaduhan terlebih dahulu antara suspek berusia 38 tahun yang juga merupakan pesara tentera dan isterinya, 31, merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang pada masa itu sedang bersedia untuk keluar pergi bekerja.

Selepas menikam isterinya di ruang tamu rumah, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mangsa dengan selimut tebal seterusnya menghantar dua anak mereka berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh.

Suspek kemudian dikatakan menyerah diri dengan memaklumkan perbuatan tersebut di pondok pengawal Ibu Polis Kontijen (IPK) Perlis sekitar pukul 10 pagi sebelum pihak berkuasa berkenaan ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, suspek mengaku membunuh isterinya dengan kesan tikaman di bahagian dada sedalam dua sentimeter.

Katanya, suspek kemudian pergi ke pondok pegawai IPK untuk menyerah diri.

Ujarnya, hasil siasatan awal, suspek dan isterinya bergaduh pada awal pagi dan semasa pergaduhan, suaminya bertindak menikam wanita itu dengan sebilah pisau.

“Tindakan suspek itu dikatakan berpunca daripada cemburu dengan syak bahawa isterinya berlaku curang. Semasa kejadian, dua anak mereka sedang tidur.

“Suspek kemudian membersihkan darah di lokasi kejadian dan membawa isterinya ke bilik tidur utama di rumah berkenaan. Selepas itu, suspek keluar membawa anak-anak ke rumah pengasuh dan merayau di Kangar sebelum menyerah diri di IPK Kangar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambah Ahmad Mohsin, suspek yang berasal dari Perak mempunyai kes jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, mangsa dibawa ke HTF kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Akta 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap suspek akan dikemukakan esok,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya