KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim akan terus bersuara membela nasib rakyat di kawasan itu termasuk seluruh Kelantan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, walaupun pembangkang hanya memiliki dua kerusi iaitu Galas dan Kota Lama, namun ia bukan bersifat suara ‘minoriti’.
“Sekurang-kurangnya ada suara, namun harus diingat semua angka bermula satu dengan dua. Makanya satu atau dua kerusi yang sekarang ini amat penting untuk diketengahkan dalam membela rakyat.
“Untuk sidang DUN kali ini ramai yang melihat satu suara di Kota Bharu dan Gua Musang. Maka ini suara bandar dan luar luar bandar, sekiranya kerajaan negeri memandang mudah pada pandangan yang bakal diberikan nanti, silakanlah,” katanya ketika ditemui semalam.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu memberitahu, beliau dan ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim akan memberikan perkhidmatan terbaik sebagai semak dan imbang berkait dengan polisi kerajaan negeri sepanjang sidang DUN itu nanti.
Katanya, tugas itu turut melibatkan pelaksanaan program-program yang dibuat oleh kerajaan negeri menerusi pembentangan belanjawan dan sebagainya bagi melihat sama ada ia menepati cita rasa atau aspirasi rakyat.
“Kami bimbang, program itu bersifat ‘syok sendiri’ sedangkan keperluan utama rakyat tidak ditangani dengan bijaksana,” katanya.
Mengulas mengenai tanggungjawab sekiranya diberikan peranan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Mohd. Syahbuddin berkata, beliau sedia menggalas amanah itu. – UTUSAN