GUA MUSANG: Selepas ancaman beruang dan harimau, lebih 200 keluarga di Felda Perasu di sini gempar dengan kehadiran gajah yang memasuki kawasan perumahan mereka sejak Khamis lalu.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, pokok pisang dan kelapa yang ditanam di tepi rumah penduduk musnah akibat dikerjakan seekor gajah liar jantan.
Seorang penduduk, Sukri Solanuddin, 36, berkata, dia dan isteri, Azura Mat Hassan, 36, bersama empat lagi anak hidup dalam ketakutan dan tidak dapat tidur lena apabila mengesan kehadiran seekor gajah liar jantan di kawasan rumah mereka pada Khamis lalu.
“Pada pukul 1 pagi, Khamis lalu, kami sekeluarga baru pulang menyaksikan sambutan ambang Hari Kebangsaan di bandar Gua Musang. Ketika sampai di rumah, kami terdengar bunyi zink yang dipijak dengan kuat di luar rumah.
“Saya keluar semula ingin memeriksa keadaan di luar rumah, namun terkejut apabila melihat gajah liar bergading sedang merosakkan tanaman di tepi rumah,” katanya.
Sukri berkata, dia terus melarikan diri ke dalam rumah dan memberitahu isteri dan empat anak berusia antara lima hingga 15 tahun tentang gajah yang berada berhampiran rumah mereka.
“Bunyi gajah semakin dekat dengan rumah menyebabkan kami segera keluar dari rumah dengan menaiki kereta untuk menyelamatkan diri dan meminta bantuan penduduk kampung.
“Keesokan paginya kami dapat melihat ada kesan tapak kaki, najis serta pokok yang dimusnahkan gajah tersebut. Saya kini bimbang dengan keselamatan keluarga jika gajah tersebut kembali menyerang kerana saya bekerja di Kuala Lipis, Pahang dan pulang dua minggu sekali ke rumah ini,” katanya ketika ditemui di Felda Perasu di sini hari ini.
Sementara itu, seorang peneroka, Mat Yunus Majid, 67, pula berkata, serangan haiwan liar di Felda Perasu berlarutan sejak lebih tiga tahun lalu apabila tanaman serta binatang ternakan penduduk menjadi mangsa.
Katanya, masalah pencerobohan haiwan liar itu sebelum ini pernah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun tiada penyelesaian.
“Di Felda Perasu ini boleh dikatakan setiap tahun ada musuh tanaman kerana banyak haiwan liar dan kawasan ini seperti Zoo Negara.
“Kami berharap anggota perhilitan bertindak lebih agresif lagi dan datang membantu dengan menghalau haiwan liar berkenaan supaya keselamatan terjamin serta kami tidak menanggung lebih banyak kerugian,” katanya.
Tambahnya, sejak setahun lalu lebih 100 tanaman miliknya termasuklah pokok kelapa musnah menjadi mangsa serangan gajah. –UTUSAN