BUKIT MERTAJAM: Polis menahan reman tiga lelaki selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah kuil di Alma, dekat sini, tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, ketiga-tiga lelaki warga tempatan yang berusia antara 21 hingga 25 tahun itu ditahan di kawasan kuil tersebut.
Terdahulu, katanya, dua rakaman video berdurasi 27 dan 14 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang bergaduh itu dimuat naik dan tular di laman sosial Twitter kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.
“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 17 September (semalam) kira-kira pukul 12.05 tengah malam ketika orang ramai sedang menyambut satu upacara keagamaan di kuil berkenaan.
“Dalam kejadian itu, mereka yang terlibat dengan pergaduhan tersebut juga didapati menggunakan tangan dan kerusi (sebagai senjata),” katanya di sini, hari ini.
Tambah Cheng San, punca sebenar pergaduhan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar. – UTUSAN