Festival Kota Selatan (FKS) 2023 meriah dengan aktiviti budaya

Festival Kota Selatan (FKS) 2023 meriah dengan aktiviti budaya

Shaharuddin Abu Sohot (kanan) mengiringi Zainal Eran (kiri) pada majlis perasmian Festival Kota Selatan 2023 (FKS2023) di Pontian, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Festival Kota Selatan (FKS) 2023 yang menggabungkan pelbagai elemen seni dan kebudayaan negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan berlangsung meriah di Dataran Majlis Perbandaran Pontian ( MPPn) di sini, minggu lalu.

Program Pelancongan Kebudayaan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu diadakan selama empat hari bermula Khamis lalu.

Festival itu tersebut memaparkan gabungan elemen seni, budaya dan warisan yang menjadi lambang identiti ketiga-tiga negeri itu dalam bentuk persembahan, pertandingan, pameran, demonstrasi, gotong royong, kenduri rakyat dan juga jualan produk seni.

Persembahan Barongan daripada Kumpulan Tunas Warisan Permatang Duku, Benut antara yang dipaparkan dalam Festival Kota Selatan 2023 (FKS 2023) di Pontian minggu lalu.

Lebih 25 pengisian dan aktiviti dijalankan sepanjang FKS 2023 antaranya Malam Gala Kota Selatan, persembahan kesenian rakyat Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, pertandingan pencarian juara zapin, pertandingan rentap rampaian tradisional tunas remaha, pertandingan Dewi Kebaya, Busker Challenge, Citra Malaysia, ‘ Colours of Malaysia”, pertandingan marhaban dan pertandingan bakat cilik.

Sementara itu Setiausaha Bahagian Kanan (Pegurusan) Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, JKKN memainkan peranan penting dalam melaksanakan kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya dalam kehidupan.

Menurutnya, program-program yang dilaksanakan juga adalah sebahagian daripada medium pembangunan modal insan dalam membentuk perpaduan dan keharmonian kaum.

“Pada tahun 2021 MOTAC telah melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang merupakan sebuah dokumen holistik yang dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara.

“Selaras dengan Teras 4 dasar tersebut iaitu Pembangunan dan Pengembangan Budaya, penganjuran program sebegini mampu mewujudkan sistem informasi seni budaya dan warisan bersepadu bagi tujuan hebahan dan sumber rujukan.

“Sudah pasti setiap pengisian aktiviti yang diadakan sepanjang FKS ini turut diterap dengan elemen nilai-nilai murni yang perlu diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya pada majlis perasmian FKS 2023.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pontian, Tuan Haji Zainal bin Eran mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar.

Dalam pada itu tambah Shaharuddin, FKS merupakan program tahunan JKKN sebagai platform untuk memperkenalkan dan mempopularkan negeri-negeri tersebut sebagai gerbang selatan negeri berbudaya.

“Pelaksanaan bergilir ketiga-tiga negeri di selatan Semenanjung Malaysia ini berjaya menyerlahkan apresiasi kesenian rakyat di wilayah masing-masing di samping dapat mempromosikan keunikan budaya menerusi seni persembahan, busana, loghat daerah serta kepelbagaian adat resam rakyat di negeri terlibat,” katanya.

Jelas beliau, penganjuran FKS di daerah Pontian memberi peluang kepada pengusaha seni kreatif dan usahawan industri seni budaya dari tiga buah negeri berkenaan.

Katanya, MOTAC sentiasa mendukung pelbagai inisiatif penggiat seni budaya untuk melaksanakan program berkaitan termasuk sokongan kewangan oleh JKKN dan juga Geran Sokongan Sektor Kebudayaan daripada kementerian.

Menurut beliau, penganjuran program seperti FKS akan meningkatkan lagi kecintaan orang ramai dan apresiasi terhadap seni budaya tanah air.

“Saya amat tertarik dengan kepelbagaian budaya di negeri Johor yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India, selain kaum-kaum seperti Jawa, Bugis dan Banjar,” ujarnya.

Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris antara yang turut menjayakan Festival Kota Selatan 2023 (FKS2023) di Pontian, minggu lalu.

Festival itu kata beliau, pastinya satu program yang ditunggu-tunggu oleh warga selatan khususnya penggiat seni dan budaya dari tiga buah negeri terlibat.

“Gabungan tiga negeri ini akan memberi impak yang berbeza dari segi adat, seni budaya, dan warisan. Di sinilah akan terlihatnya keunikan seni budaya setiap negeri yang terlibat untuk disaksikan secara dekat,” ujarnya.

FKS 2023 turut melibatkan rakan strategik Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor (PEZAPIN) dan Persatuan Ghazal Negeri Johor serta penglibatan secara langsung Kerajaan Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor selaku tuan rumah.

Turut diadakan persembahan dari artis seperti Noraniza Idris. Nubhan. Radhi P. Ramlee dan penampilan khas Chombi dalam persembahan ‘Colours Of Malaysia’.

Bagi tahun ini, Johor dipilih sebagai tuan rumah untuk melaksanakan FKS 2023 selepas Melaka pada tahun lalu dan Negeri Sembilan pada tahun 2021 yang diadakan secara dalam talian kerana pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya