Feminin pernah dirisik masuk GV - Utusan Malaysia

Feminin pernah dirisik masuk GV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hiburan hari ini menyaksikan kemunculan kumpulan wanita yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Namun dunia hiburan juga menjadi saksi, sebelum adanya De Fam, Dolla dan XONE, kumpulan Feminin lebih dahulu mendominasi.

Feminin bertaraf legenda. Pelbagai kejayaan mereka lukiskan, antaranya menjadi artis pertama dinobatkan sebagai Artis Duo/Berkumpulan Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) yang pertama sekitar tahun 1993.

Lagu-lagu Feminin juga malar segar dan masih diraikan sehingga hari ini meskipun anggotanya Asfarina, Yatie, Watie, Deq Nor dan Along sudah membawa haluan masing-masing.

Peminat masih mengikuti perkembangan anggota Feminin walaupun kumpulan ini sudah berpecah. Rata-ratanya masih berharap agar Feminin kembali bersatu, mengadakan showcase atau konsert supaya rindu mereka terhadap kumpulan itu, terubat.

Asfarina atau As, ketika dihubungi baru-baru ini mengakui memang ada beberapa pihak yang menawarkan bekas anggota Feminin untuk kembali bersatu dalam sebuah persembahan. 

“Malah ada juga yang menawarkan kami untuk masuk program realiti Gegar Vaganza (GV) selain beberapa penaja yang menawarkan membuat showcase dan persembahan. Tapi, saya terpaksa tolak secara baik.

“Bekas anggota Feminin sudah membawa haluan masing-masing. Setiap daripada kami sibuk menguruskan keluarga dan kerjaya. Kalau nak berkumpul semula macam dulu memang susah. Tumpuan sudah beralih arah.

“Saya sebenarnya simpati dengan peminat yang tak putus-putus berharap agar Feminin dapat muncul semula dalam showcase mahupun konsert. Tetapi, saya terpaksa berlaku jujur dan menjelaskan permintaan mereka sukar kami realisasikan sebab kami sudah berkeluarga. Saya lega peminat faham,” katanya.

Kata As lagi, hiburan adalah dunia yang satu lama dan jauh dia tinggalkan. Meskipun menerima restu dan sokongan suami yang juga bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan, dia tidak mungkin akan kembali menjadi anak seni.

“Suami tidak pernah menghalang, bahkan memberi galakkan. Tapi saya tahu saya tak boleh (kembali ke dunia hiburan). Bagi saya dunia itu sudah terlalu jauh saya tinggalkan, bermula sejak berumah tangga dan mempunyai anak.

“Fokus saya hanyalah untuk keluarga dan membesarkan anak-anak, termasuk seorang anak autisme yang memerlukan perhatian saya sepanjang masa,” ujarnya.

CABARAN BESARKAN ANAK AUTISME

Bekas vokalis Feminin yang dilahirkan di Selangor ini menjelaskan, memiliki seorang anak autisme juga antara faktor yang tidak memungkinkan untuk dia kembali ke dunia hiburan.

Kata As, bukan mudah membesarkan anak autisme, memerlukan komitmen dan pengorbanan besar dan berpanjangan.

“Anak saya disahkan menghidap autisme dan berkelakuan hiperaktif seawal usianya mencecah lima tahun. Dia berkelakuan normal selepas dilahirkan dan sehingga usianya empat tahun. Namun, selepas itu mula menampakkan perubahan, suka bersendirian, memilih makanan dan tidak menyahut apabila dipanggil.

“Saya tak ada masalah jaga anak autisme, cuma saya akui ia bukan mudah. Waktu tidurnya tidak tentu. Saya terpaksa bersengkang mata sehingga dia tidur. Begitu juga tentang pemakanan, yang mana dia hanya akan makan makanan yang ranggup seperti kentang dan ayam goreng dan kentang putar.

“Ini antara sebab saya tidak mungkin kembali sebagai Feminin. Pada saya, dalam apa juga keadaan, anak paling utama,” jelasnya.

HARGAI SOKONGAN PEMINAT

Dalam pada itu, As meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada peminat dan penyanyi zaman sekarang yang masih menerima dan menghargai karya seni Feminin.

“Saya terharu kerana ada penyanyi zaman sekarang yang sudi menyanyikan semula lagu-lagu Feminin. Saya bangga dan seronok mereka membawakannya dengan cara mereka sendiri.

“Saya harap peminat tidak membanding-bandingkan versi asal dan baru. Kita kena sokong dan beri peluang kepada penyanyi baru tunjukkan kreativiti mereka.

“Apa pun terima kasih. Walaupun pada saya Feminin hanyalah nama yang kerdil, saya tetap menghargai sokongan yang diberikan peminat sejak kumpulan ini ditubuhkan sampailah sekarang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya