FAMA beli duku dari ladang atasi masalah lambakan  - Utusan Malaysia

FAMA beli duku dari ladang atasi masalah lambakan 

KAKITANGAN FAMA menunjukkan buah duku yang dikumpul di Pusat Pengumpulan Duku di Kampung Durian Bador, Hulu Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu melaksanakan program khas pembelian duku bagi mengatasi masalah lambakan buah tersebut di negeri ini sejak minggu lalu.

Pengarahnya, Nukman Hashim berkata, pihaknya telah membeli sebanyak 44 tan metrik duku yang bernilai RM73,732 daripada pekebun di beberapa kawasan di sini dan Hulu Terengganu.

Menurutnya, melalui inisiatif tersebut, FAMA Terengganu akan mengagihkan bekalan untuk jualan kepada orang ramai di 35 pusat operasi FAMA seluruh negara.

“Pada musim duku kali ini, sasaran FAMA Terengganu adalah untuk membeli 1,200 tan metrik buah tersebut daripada pekebun kecil sekaligus membantu mereka memperolehi pendapatan yang lebih stabil dan berbaloi.

“Penggunaan logistik swasta juga antara faktor yang dilaksanakan untuk memastikan penghantaran duku di setiap pusat operasi FAMA di seluruh negara dilakukan dengan sistematik dan lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ketika ini, musim duku telah bermula di seluruh Terengganu, namun dilema pekebun ialah untuk memikirkan kaedah paling efektif untuk menjualnya kerana jangka hayat duku sangat pendek dan cepat rosak.

Mengulas lanjut, Nukman berkata, duku bukanlah dalam kategori hasil tani eksport ke luar negara seperti durian, nangka, nanas dan manggis disebabkan jangka hayatnya yang pendek iaitu hanya boleh bertahan dalam tempoh antara tiga hari hingga seminggu sahaja.

Menurutnya, kaedah penjualan juga perlu sesuai kerana duku tidak boleh diletakkan dalam premis yang berhawa dingin terlalu sejuk kerana buah akan cepat hitam dan rosak.

“Sebab itu, FAMA Terengganu melaksanakan inisiatif ini untuk mengurangkan beban pengusaha duku dengan membantu mereka memperluaskan pemasaran ke seluruh negara.

“Duku yang dihantar ke luar Terengganu akan dijual oleh usahawan buah di dalam Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani serta di pejabat kerajaan yang terpilih dan lot-lot jualan di pasar tani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya