PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tampil menjawab tiga perkara yang dibangkitkan oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tiga perkara tersebut adalah mengenai peruntukan buat Ahli Parlimen pembangkang, pengisytiharan harta anggota kabinet, dan pengguguran kes rasuah.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR itu berkata, kerajaan tidak mengamalkan sikap ‘NATO‘ (no action, talk only) atau cakap sahaja, namun tiada tindakan seperti mana digelar oleh Ahli Parlimen Muar tersebut.
Menjawab mengenai peruntukan, Fahmi menjelaskan sudah terdapat proses yang disediakan namun pihak pembangkang tidak mahu memberi kerjasama.
“Pada 8 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebut pihak pembangkang kena bagi cadangan kalau nak peruntukan Ahli Parlimen. Jadi proses itu sudah ada.
“Jadi, selesaikanlah rundingan tetapi masalahnya sampai ke hari ini pihak pembangkang masih belum bagi cadangan.
“Jadi, kepada Syed Saddiq dan yang lain, kalau nak tahu kenapa ahli Parlimen pembangkang masih belum dapat peruntukan, tanyalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya menerusi satu klip video yang dimuat naik di aplikasi X.
Terdahulu, Syed Saddiq menggelar kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Kerajaan NATO’ kerana gagal melaksana beberapa pembaharuan seperti yang dijanjikan sebelum ini
Mengulas mengenai pengisytiharan harta, Fahmi berkata, Perdana Menteri sudah memaklumkan bahawa proses tersebut dalam tindakan bersama agensi-agensi kerajaan.
“PM sendiri dah isytihar harta pada Oktober 2022 dengan aset berjumlah lebih RM11 juta. Saya pun sudah isytihar harta, Syed Saddiq pun sudah. Yang PM jawab Januari lalu maksudnya proses itu sedang berjalan untuk rangka semula proses pengisytiharan harta.
“Kalau nak dapat maklumat lanjut, nanti boleh masukkan soalan dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) (semasa) sesi penuh Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyifatkan artikel yang dikemukakan oleh Syed Saddiq berkenaan pengguguran kes rasuah diambil tanpa konteks penuh.
“Syed Saddiq petik tu dari Julai 2022, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan yang dipetik tak penuh. Cuba baca penuh apa Anwar Sebut.
“Bermaksud Anwar bercakap dalam konteks usaha beliau pada tahun 2020, bukan lepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan Kita kena ingat Kerajaan Perpaduan dibentuk pasca PRU15 atas titah nasihat Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk selesaikan masalah parlimen tergantung
“Dalam sebarang DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) ke, sama ada kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Tan Sri Muhyiddin Yassin ke, mana-mana yang lain ke. Kerajaan tidak terlibat.
“Peguam Negara sudah jelaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pun sudah jelaskan. Budi bicara peguam negara di bawah perkara 145 (3) perlembagaan persekutuan. Atau mungkin Syed Saddiq yang tak boleh terima perkara ini,” katanya.
Untuk rekod, Anwar yang juga Presiden PKR itu semasa ucapan dasar Kongres Nasional PKR Ke-16 sebelum ini menegaskan beliau pernah diminta mengakui akan menggugurkan kes mahkamah melibatkan dua tokoh dalam UMNO jika mahu mendapatkan sokongan bagi menjadi Perdana Menteri, dua tahun lalu.
Anwar yang ketika itu Ketua Pembangkang mendakwa menerima mesej pada malam sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Oktober 2020 supaya membuat pengakuan tersebut.
“Sebelum pukul 8 malam, esok pagi kalau saya kata ok, beri nota sedikit saya akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri. Tetapi, saya bersama saudara-saudara. Tetapi saya kata kalau hendak sebut simpati, sahabat, semua saya boleh sebut.
“Tetapi, untuk memberi pengakuan saya akan menutup kes yang melibatkan tokoh utama dalam UMNO BN, saya jawab tidak mungkin. Saya tidak minta maaf, saya kata terima kasih kita lawan dan kita hadapi dalam pilihan raya akan datang,” katanya. -UTUSAN