Fadhlina arah semua infrastruktur sukan di sekolah dipantau

Murid maut dihempap palang gol: Fadhlina arah semua infrastruktur sukan sekolah dipantau

fadfhlina
FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah di seluruh negara diarahkan memantau semua infrastruktur sukan serta padang berada dalam keadaan selamat untuk kegunaan pelajar.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaraan terhadap kemudahan sukan akan dipertingkat bagi memastikan kawasan sekolah adalah sifar kemalangan.

Pada masa sama, katanya, pentadbir sekolah hendaklah sentiasa mengingatkan pelajar untuk berwaspada ketika melakukan aktiviti di luar kelas.

“Bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan pihak JPN, PPD dan sekolah memantau seluruh infrastruktur sukan dan padang sekolah berada dalam keadaan selamat untuk kegunaan para pelajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Arahan tersebut dikeluarkan susulan kes membabitkan seorang murid berusia 11 tahun yang meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol ketika aktiviti kokurikulum bersama-sama rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan St. Anthony, Bintulu, Sarawak semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa parah di kepala akibat ditimpa besi palang gol di tempat kejadian yang dipercayai patah semasa aktiviti kokurikulum.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan sebaik sahaja tiba Hospital Bintulu.

Dalam hantaran sama, Fadhlina menzahirkan dukacita berhubung perkhabaran tersebut dan menyampaikan ucapan takziahnya terhadap keluarga mangsa.

“Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan saya memberi jaminan KPM menerusi JPN akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa.

“Saya juga memberikan jaminan bahawa KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan tragedi ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN