IPOH: Polis menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun di sebuah kilang elektronik di Jalan Lapangan Terbang di sini, minggu lalu.
Kesemua lelaki warga tempatan berusia antara 27 hingga 47 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di Ipoh, Selangor dan Pulau Pinang pada 21 dan 22 September lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan kejadian samun berkumpulan itu diterima pada 14 September lalu kira-kira pukul 9.15 malam.
Katanya, dalam kejadian itu, kumpulan penjenayah tersebut telah memecah masuk ke dalam kawasan kilang dan mengikat pengawal keselamatan warga asing.
“Seorang daripada suspek yang juga pengawal keselamatan di kilang itu telah membuka pintu pagar untuk rakannya masuk sebelum mereka mengikat pengawal keselamatan yang menjaga pagar lain.
“Dalam kejadian itu, sejumlah bahan logam mampat bernilai RM180,000 telah dilarikan suspek dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu,” katanya di sini hari ini.
Yahaya berkata, ekoran kejadian itu, pihaknya telah melancarkan Op Kargo Carsem dengan mengumpul risikan dan maklumat sehingga tertangkapnya kesemua suspek.
Beliau berkata, tangkapan terhadap kesemua lelaki itu membawa kepada penemuan semula kesemua besi mampat yang dicuri di sebuah rumah di Bercham.
“Rampasan turut dilakukan membabitkan kenderaan yang digunakan semasa kejadian, pakaian dan telefon bimbit.
“Semakan rekod lampau terhadap kesemua suspek mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah pelbagai kesalahan dan seorang positif dadah jenis morfin,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek ditahan reman lima hari sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan bersenjata.
“Kita sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya. – UTUSAN