Enam entiti saman trafik, kualiti jalan raya bertaraf ‘malang’ - Utusan Malaysia

Enam entiti saman trafik, kualiti jalan raya bertaraf ‘malang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU bercakap soal saman trafik, di Malaysia ini boleh dikatakan ada enam entiti yang ‘cergas’ mengeluarkan ‘surat cinta’ kepada pengguna jalan raya.
Ada agensi itu, ada agensi ini, ada bahagian trafik dan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), malah dicampur pula kamera penguatkuasaan kesalahan lalu lintas secara elektronik selain anggota yang pegang kamera tembak laju.
Itu belum lagi ditambah dengan ‘entiti’ roadblock (sekatan jalan raya) yang kebiasaannya membuatkan jalan raya tiga lorong ‘dikemutkan’ menjadi satu lorong dan seterusnya pasukan peronda. Ada enam kesemuanya.
Apa yang menarik perhatian, daripada enam entiti terbabit, Malaysia menduduki tangga ke-12 sebagai negara yang memiliki kualiti jalan raya teruk di dunia. Hanya ada satu entiti yang menjaga kualiti terbabit.
Menurut kajian sebuah firma pendidikan pemandu, kualiti jalan raya di negara ini merosot lima peratus dalam lima tahun kebelakangan ini.
Saya fikir, ke mana perginya duit saman itu ya? Kalau ikutkan laporan, jumlah kutipan tahun itu, tahun ini mencatatkan ratusan juta ringgit. Banyak juga.
Kalau nak sentuh bab kualiti jalan raya, saya rasa bapak menteri, bapak-bapak yang memegang portfolio kesejahteraan rakyat, pandulah sendiri dan rasai ‘nikmatnya’ melalui jalan-jalan utama Persekutuan dan juga negeri.
Ada itu pula, saya tidak faham mengapa dan buah fikiran siapa agaknya, sudahlah jalan tu ‘diturap’ tebal dengan jalur berwarna kuning, di antaranya pula ada jalur tebal berwarna merah. Kalau memandu di jalur itu, bergegar segala isi kereta. Dalam hati saya bertanya, seronokkah ‘beliau’ dengan idea berkenaan?
Di sudut lain, soal pembinaan bonggol jalan. Tolonglah ambil peduli wahai pelaksana negara. Mengapa seringkali berlaku saiz dan ketinggian bonggol yang tidak seragam? Jika diseragamkan, bukankah itu bagus. Kalau tidak, maka hasilnya wujudlah keadaan ‘kereta terbang’ seperti kejadian dilaporkan di sebuah bandar raya, baru-baru ini.
Tolonglah bapak menteri, lihatlah isu ini dalam aspek kesejahteraan rakyat. Lain kes, di PBT yang dikatakan antara PBT terkaya di negara ini, jalan berlubang pun ambil masa berbulan-bulan nak diselesaikan. Tapi, kalau bab nak saman parkir, mungkin nak kejar KPI (Petunjuk Prestasi Utama) agaknya, bukan main laju dan cergas. Mungkin bab nak turap jalan berlubang bukan kerja mereka agaknya, nak salahkan siapa?
Satu lagi, sudahlah laju dan cergas dalam bab menyaman, nak bina laluan pejalan kaki berbumbung pun ‘kedekut’. Berpanas dan berhujanlah rakyat meredah laluan berkenaan. Sedangkan abang-abang dan kakak-kakak yang sibuk mengeluarkan saman nampak segala ‘keperitan’ dilalui pengguna.
Kita ini nak menegur, bukan nak menjatuhkan sesiapa. Kalau demi kesejahteraan rakyat, terimalah teguran ini dengan hati terbuka, untuk bersama menjadikan negara ini bertambah baik. Teringat iklan sebuah syarikat minyak: “Kami memahami keperluan anda kerana kami juga adalah pemilik dan pemandu kereta seperti anda”.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya