Emraz yakin dapat pulih operasi umrah jemaah terkandas

Emraz yakin dapat pulih operasi umrah jemaah terkandas

HARIK Fauzi ketika sesi pertemuan dengan kumpulan jemaah umrah terkandas diuruskan Emraz Travel and Tours di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebahagian besar daripada lebih 3,000 jemaah umrah diuruskan Emraz Travel and Tours Sdn. Bhd. (Emraz) tetap bersikap positif dengan agensi berkenaan di bawah program intensif Penjadualan Semula Umrah (PSU) syarikat berkenaan.

Malah menurut aktivis pengguna bebas Putrajaya, Harik Fauzi, mereka masih yakin dapat menunaikan ibadah itu dengan syarikat Bumiputera tersebut meskipun terkandas lama.

“Saya bersyukur mereka menerima penjelasan baik pihak Emraz kerana pada awalnya ada kecewa jadual penerbangan ditunda banyak kali,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan sesi pertemuan dengan sekumpulan 40 jemaah terlibat untuk memberikan taklimat isu sebenar agensi tersebut yang bermasalah sejak Mei lalu.

Sesi jerayawara berkenaan merupakan yang kali ketiga diadakan selepas di Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur bagi berkongsi input maklumat perkembangan terkini syarikat itu.

Emraz digantung oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selama enam bulan mulai 10 Julai lalu namun tetap dibenar untuk melakukan pelan pemulihan operasi.

Mengulas lanjut, Harik yang dipertanggungjawabkan oleh pihak pengurusan syarikat itu berkata, agensi ditubuhkan sejak 2015 itu masih berdepan dengan isu aliran modal serius.

“Walau bagaimanapun, Emraz tidak pernah lari dan bukan ‘scammer’ seperti ditohmahkan oleh segelintir pihak bahkan nasib semua jemaah terkandas tetap diselesaikan,” tegasnya.

Beliau memberikan contoh syarikat itu tiada pun masalah dari segi tiket penerbangan kerana ada kerjasama dengan Batik Air yang bersedia menyediakan slot tempat bila-bila masa selain soal penginapan dan pengangkutan di Tanah Suci kerana Emraz mempunyai kontrak dengan beberapa pihak di sana.

Justeru, Harik yakin jika syarikat itu menerima suntikan dana daripada para pelabur yang optimis dengan prospek positif, masalah kekangan aliran tunai boleh segera diselesaikan.

Pada masa sama, beliau tiada masalah sekiranya ada jemaah mahu mengambil tindakan sendiri termasuk aduan kepada pihak Motac, namun ia tidak menyelesaikan pun isu itu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN