KUALA SELANGOR: Pengalaman hitam seorang chef terjebak dalam gejala dadah selama 17 tahun menjadi episod menakutkan buat dirinya sehingga kehabisan wang ringgit dan pitam tidak sedarkan diri.
Kini, segalanya bertukar 360 darjah apabila Mohd. Radzi Abu Kassim, 39, menjadi usahawan kambing dan lembu ternakan hasil bimbingan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak lima tahun lalu.
Bapa kepada lima anak itu berkata, dia mula terjebak mengambil syabu ketika bekerja sebagai chef sebuah hotel terkemuka di ibu negara sejak 2001.
“Pada waktu itu, saya masih muda dan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya untuk mengambil bahan terlarang tersebut.
“Saya mengambil dadah itu kononnya bagi memberi tenaga lebih sepanjang bekerja sebagai chef namun akhirnya menjadi ketagihan melampau,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini, petang ini.
Terdahulu, Mohd. Radzi yang juga bekas klien AADK menerima kunjungan agensi itu dan media yang turut melawat tempat pemprosesan daging lembu dan kambing ternakannya.
Jelas bapa kepada lima anak itu, dia mula ‘berhijrah’ selepas rebah akibat pengambilan dadah ketika berniaga di bazar Ramadan pada 2018.
“Saya ketika itu berasakan Allah sudah memberi petunjuk supaya segera berubah daripada menagih sebelum terlambat. Justeru, saya nekad menemui pegawai AADK Kuala Selangor dan menyertai proses pemulihan dadah,” ujarnya.
Kata Mohd. Radzi, dia bersyukur masih diberi peluang untuk hidup normal dengan mengusahakan perniagaan ternakan itu bersama abangnya.
“Alhamdulillah, perniagaan kami dengan jenama Dopper Grill berjalan lancar dan mempunyai lebih 70 lembu dan 20 kambing termasuk biri-biri ketika ini. Secara puratanya kami menjual lebih 600 kilogram daging sebulan sama ada secara perapan atau tempahan memasak secara terus oleh pelanggan,” jelasnya.
Tambah anak kelima daripada sembilan beradik itu, semua penagih terutama generasi muda dinasihatkan tidak terus terjebak dalam kancah hitam yang hanya merugikan wang dan masa depan mereka. – UTUSAN