KUALA TERENGGANU: Dua wanita tempatan yang juga pembantu kedai makan yang disyaki menampar seorang kenalan mereka sehingga mangsa patah gigi ditahan polis pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara mereka di muara Jambatan Angkat Kuala Terengganu, dekat sini, kira-kira pukul 12.46 malam, 4 September lalu.
Menurut beliau, salah faham tersebut dipercayai berpunca isu teman lelaki sebelum mangsa yang berusia 19 tahun ditampar di kedua-dua belah pipi sehingga menyebabkan giginya patah.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 4 pagi dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas itu.
“Susulan itu dua wanita berusia 40 dan 23 tahun ditangkap di sebuah kedai makan di daerah ini kira-kira pukul 2.15 petang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, dua suspek berkenaan telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Ahad bagi membantu siasatan.
Beliau menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – UTUSAN