PETALING JAYA: Dua wanita dilantik menduduki jawatan tertinggi Jabatan Peguam Negara dalam satu pengumuman dibuat hari ini.
Menerusi kenyataan Jabatan Peguam Negara, Datuk Almalena Sharmila Johan dilantik sebagai Peguam Cara yang baharu berkuat kuasa 2 Oktober ini.
Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai Peguam Negara bermula 6 September lalu.
Dalam pada itu, Datuk Suzana Atan juga dilantik sebagai Peguam Cara ll bagi mengisi kekosongan Almalena Sharmila.
Ahmad Terrirudin berkata, pelantikan itu selaras dengan Arahan Pertukaran Pegawai Undang-Undang Bilangan 107 dan 108 Tahun 2023.
“Pelantikan ini adalah berkuat kuasa mulai 2 Oktober 2023. Seluruh warga Jabatan Peguam Negara mengucapkan Tahniah atas pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa 6 September bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September lalu.-UTUSAN