PETALING JAYA: Dua suspek utama yang terlibat dalam kes pembunuhan tiga warga Sri Lanka, di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul dekat sini Jumaat lalu, dipercayai ditahan pihak polis.
Kedua-dua suspek lelaki yang juga warga Sri Lanka itu dipercayai ditahan di Hulu Langat di sini pada Isnin lalu.
Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Sentul dengan kerjasama Kontinjen Polis Kuala Lumpur.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan di tepi jalan selain dipercayai bersembunyi dalam hutan di sekitar Hulu Langat, Selangor.
“Kedua-dua mereka sedang direman untuk disoal siasat pihak polis bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi siasatan lanjut.
“Ya, kedua-dua suspek telah ditahan dan satu sidang akhbar akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sabtu lalu, media melaporkan polis menemukan mayat warga Sri Lanka di bilik stor di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, ketika-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan, manakala kepala mereka ditutup dengan plastik selain seorang daripada mangsa ditemukan dalam keadaan bogel.
Beliau berkata, susulan itu polis menahan pasangan pasangan suami isteri warga Sri Lanka selain mengesan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua lelaki dari Klang itu hanya dikenali pasangan tersebut sejak enam bulan lalu. Mereka menetap selama dua hari sebelum melarikan diri pada hari kejadian.
“Seorang daripada mangsa dipercayai anak kepada pasangan suami isteri yang ditahan,” katanya.- UTUSAN