Dua rakan dipenjara curi Nescafe, minyak wangi - Utusan Malaysia

Dua rakan dipenjara curi Nescafe, minyak wangi

MUHAMMAD Shamsuddin Mohd. Zakirin (kiri) dan Muhammad Syahril Iman Razman Hayaddi didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan mencuri Nescafe dan minyak wangi. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gara-gara mencuri Nescafe dan minyak wangi di sebuah kedai serbaneka 24 jam, seorang jurujual lelaki dikenakan hukuman penjara 16 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Pada prosiding sama, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,500 ke atas seorang pekerja hotel bagi kesalahan serupa.

Hukuman itu diputuskan Majistret Siti Nora Sharif selepas tertuduh, Muhammad Shamsuddin Mohd. Zakirin, 30, dan Muhammad Syahril Iman Razman Hayaddi, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Shamsuddin yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya didakwa mencuri satu unit Nescafe Arabica 100 gram daripada milikan kedai 7-Eleven Store di Taman Ipoh Boulevard Timur, Ipoh pada pukul 8.58 pagi, 31 Ogos 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bermula hari ini dan denda RM2,500.

Muhammad Shamsuddin juga berdepan hukuman penjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Shamsuddin didakwa bersama Muhammad Syahril Iman mencuri satu unit Nescafe Arabica 100 gram, satu unit Dashing Pocket EDT Cool Aqua, Dashing Pocket EDT Style Legend (1), Romano Pocket EDT Metro Pulse (1) dan Romano Pocket EDT Force (1).

Kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu dilakukan di lokasi sama pada pukul 12.18 malam, 2 September lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,500 kepada setiap tertuduh serta tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu berjalan bermula daripada tarikh kedua-duanya ditangkap pada Sabtu lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syuhada Mohd. Yusof. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN