Dua penjawat awam seleweng RM297,734.64 direman

Dua penjawat awam seleweng RM297,734.64 direman

DUA penjawat awam dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis bagi mendapatkan perintah reman berhubung kes menyalahgunakan jawatan dan menyeleweng wang berjumlah RM297,734.64 di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua penjawat awam negeri ini yang berpangkat penolong akauntan dan penolong pegawai teknologi maklumat direman tiga hari bagi membantu siasatan menyalahgunakan jawatan untuk meluluskan transaksi pembayaran wang berjumlah RM297,734.64.

Suspek dipercayai menyalahgunakan kuasa sebagai pelulus dalam Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri (iSPEKS) bagi melakukan transaksi berkenaan. 

Perintah reman terhadap dua lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar, di sini hari ini.

Dua suspek terlibat ditahan reman bermula hari ini hingga Khamis ini.

Terdahulu, dua lelaki berkenaan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar kira-kira pukul 10.20 pagi bagi proses permohonan reman dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek terlibat ditahan semalam sewaktu hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri pada pukul 4.50 petang.

Katanya, wang yang diseleweng oleh pihak terlibat itu adalah bagi tempoh bermula Mac 2018 sehingga Mei 2019 melibatkan 51 transaksi. 

Ujarnya, pembayaran itu sepatutnya dibayar kepada syarikat-syarikat pembekal yang dilantik oleh jabatan di bawah kerajaan negeri Perlis.

Bagaimanapun, katanya, pembayaran tersebut didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik ibu mentua dan rakan suspek. 

“Selain itu, suspek kedua turut dipercayai bersubahat dan menerima bayaran upah berjumlah RM50,000,” katanya.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN