DUNGUN : Hasrat sekumpulan pelajar jurusan Diploma Teknologi Maklumat Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dekat sini menghabiskan cuti sempena Maulidur Rasul dengan mandi manda di Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, bertukar tragedi selepas dua daripada rakan mereka dikhuatiri lemas, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, Muhammad Khalili Hasnol dan Muhammad Qamarul Arifin Mohd. Ramly, masing-masing berusia 20 tahun dipercayai hanyut dibawa arus ketika mandi di kawasan air terjun tersebut bersama tujuh lagi rakannya.
Salah seorang rakan mangsa, Muhammad Fadli Baharudin, 20, berkata, sebelum kejadian, mereka bermotosikal dari rumah sewa di Kampung Alor Tempoyak, dekat sini tiba di kawasan air terjun itu kira-kira pukul 5.15 petang.
“Kejadian berlaku sangat pantas. Tak sampai 20 minit kami semua turun mandi, dua rakan dikhuatiri lemas.
“Ketika kejadian, saya nampak Muhammad Qamarul dan Muhammad Khalili terkapai-kapai dan tenggelam timbul seolah-olah meminta tolong. Seorang rakan kami cuba berenang ke arah mereka, namun gagal untuk selamatkan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, petang ini.
Muhammad Fadli berkata, mereka cuba meminta bantuan penduduk kampung dan menggunakan pelampung untuk menyelamatkan dua rakannya, namun tidak berhasil apabila kedua-kedua rakannya terus tenggelam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Penolong Penguasa Bomba Shariffuddin Ali berkata, pihaknya menggerakkan seramai 12 anggota selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.47 petang.
“Kita membuat pencarian di kawasan tepi air terjun dan setakat ini kedua-kedua mangsa masih belum ditemui.
“Kita juga akan membuat selaman dengan bantuan pasukan penyelamat di air dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai,” katanya. – UTUSAN