Dua pasukan petugas khas pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya

Dua pasukan petugas khas pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pasukan petugas khas diwujudkan dalam mempercepat reformasi cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dua pasukan tersebut adalah Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal.

Katanya, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dicadangkan terdiri daripada beliau sendiri serta wakil Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, wakil Blok Pembangkang, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Azalina berkata, pasukan itu berperanan menjalankan kajian berdasarkan keterangan ke beberapa negara seperti England, Australia, Kanada dan Kenya bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tidak dapat diakses melalui data terbuka kajian amalan terbaik global.

“Pasukan Petugas Khas Teknikal pula akan meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan. 

“Pasukan Petugas Khas Teknikal ini dicadangkan dikendalikan sepenuhnya oleh AGC dan BHEUU. Pasukan Petugas Khas Teknikal akan menyediakan Laporan Interim dalam tempoh satu tahun mengenai Kajian Empirikal Komprehensif Pengasingan Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk mengambil kira hasil kajian berdasarkan keterangan dan pembentangan hasil Kajian Empirikal untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azalina mempengerusikan mesyuarat pertama dalam meneliti agenda reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya hari ini antara membincangkan terma rujukan dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan usaha reformasi tersebut. 

Menurut Azalina, sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak-pihak pemegang taruh lain seperti Polis Diraja Malaysia, agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak-pihak lain pula akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal pada masa terdekat. 

Katanya, agenda reformasi ini penting dalam memastikan tadbir urus demokratik yang lebih mantap dan meningkatkan pentadbiran undang-undang selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pentadbiran, sistem perundangan dan tatakelola yang baik.

“Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada serta peraturan-peraturan berkaitan selain membawa implikasi kewangan dan perjawatan yang besar kepada Kerajaan. 

“Hasil perbincangan akan dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang bagi pertimbangan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya