GEORGE TOWN: Polis menahan dua pasang kekasih dan dua lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah yang dipercayai dipasarkan di pusat-pusat hiburan bernilai RM102,293 dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut, di sini bermula 7 September sehingga semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, dalam kes pertama, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan teman wanitanya yang merupakan warga asing berumur 20 tahun kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.
Tambahnya, mereka ditahan dalam sebuan di kawasan Persiaran Karpal Singh, di sini kira-kira pukul 7 petang, 7 September lalu.
”Selepas penahanan pasangan kekasih itu, polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Pinang pada 7.45 petang hari sama.
“Polis merampas dadah yang diisi di dalam 183 paket bungkusan minuman segera yang telah dicampur dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 4.21 kilogram yang bernilai RM64,050 di rumah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Timur Laut, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan polis mendapat pasangan kekasih itu menjadikan rumah tersebut sebagai tempat memproses dadah MDMA.
”Pasangan ini kemudian mencampurkannya dalam serbuk minuman segera serta membungkusnya semula dan dipercayai mengedarkannya di pusat hiburan atau pusat karaoke di sekitar daerah ini,” katanya.
Tambahnya, susulan penahanan pasangan kekasih itu, pada hari yang sama kira-kira pukul 11.30 malam, polis kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah MDMA itu.
“Lelaki ini ditahan di hadapan sebuah premis perniagaan di Pulau Tikus dan polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 16 paket MDMA, ketamin, 30 biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM6,390.
”Ketiga-tiga mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sejak awal tahun ini dan menjual setiap pek minuman segera pelbagai perisa itu dengan harga RM350 setiap paket,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, tangkapan kes kedua membabitkan penahanan sepasang kekasih warga tempatan yang masing-masing berusia 40 dan 26 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Polis berjaya merampas ganja serta syabu bernilai RM25,950 dalam serbuan 5.30 petang semalam di sebuah rumah di sini.
“Pasangan kekasih ini ditahan bersama 526 gram ganja serta 122 gram syabu dan mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, bagi kes ketiga, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun di tepi jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini kira-kira pukul 2.25 pagi semalam.
“Polis merampas 1,080 biji pil kuda yang kesemuanya bernilai RM5,903 dan ketika ditahan lelaki itu di percayai dalam perjalanan menghantar pil kuda tersebut kepada pelanggannya,” katanya.
Tambahnya, enam individu yang ditahan itu tiada kaitan antara satu sama lain dan kesemuanya kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN