Dua lepasan sekolah jalanan Chow Kit masuk UKM

Dua lepasan sekolah jalanan Chow Kit masuk UKM

PUTERI Nur Arisa Muhammad Nor (tiga dari kiri) dan Puteri Umairah Abdul Razak (tiga dari kanan) beramah mesra dengan Ahmad Firdaus Arham di UKM, Bangi, semalam. - MINGGUAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Buat julung kalinya dalam sejarah, dua bekas pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) mampu menyambung pengajian mereka ke sebuah institusi pengajian tinggi.

Kejayaan dua penuntut wanita yang berusia 20 tahun itu dimaklumkan sendiri oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.

Bercakap dalam  sidang akhbar selepas meninjau proses pendaftaran pelajar baharu di Kolej Keris Mas di sini hari ini, beliau berasa gembira kerana mereka memilih institusi berkenaan.

“Alhamdulillah hari ini kita turut meraikan dua bekas lepasan SBJK yang terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur dan tentu bakal memberikan motivasi kepada murid-murid di situ,” katanya.

Institusi khas yang mula beroperasi pada 2013 itu adalah sebuah sekolah ditadbir terus oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan. Uniknya, SBJK memberi tumpuan kanak-kanak gelandangan tanpa dokumen diri, tiada status warganegara dan golongan keluarga rentan untuk belajar formal secara percuma.

Setakat ini, institusi  dengan 16 staf itu merekodkan 147 murid dari peringkat prasekolah meliputi usia lima tahun hingga menengah atas berumur 19 tahun.

Antara pelajar tersebut, Puteri Nur Arisa Muhammad Nor, menzahirkan perasaan syukur dapat memasuki UKM dan berbakti semula kepada SBJK selepas tamat pengajian kelak.

“Saya mahu balas balik dan menyumbang kepada sekolah itu semula kerana banyak beri peluang kepada murid yang tiada dokumen diri untuk belajar seperti normal,” katanya.

Bercita-cita mahu menjadi seorang pendidik, dia bakal mengikuti bidang pendidikan khas di Fakulti Pendidikan UKM dan terharu menerima banyak skim bantuan dari institusi itu.

Seorang lagi lepasan SBJK, Puteri Umairah Abdul Razak pula bercita-cita mahu menjadi guru serta berazam belajar bersungguh-sungguh di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Sambil menyifatkan dirinya bertuah kerana mengikuti pengajian sukatan arus perdana di SBJK, dia mahu kisah kejayaan memasuki UKM memberi semangat kepada adik-adiknya.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada semua guru di sana yang sanggup gigih dedikasi dan berbakti kepada masyarakat terbuang di pusat bandar tanpa perasaan jemu.

“Kami memang sukar diterima masuk ke sekolah harian biasa sebab ada masalah tiada dokumen diri tetapi Allah bagi peluang rezeki saya dapat juga belajar di SBJK,” katanya.

Mereka berdua yang hadir ditemani beberapa guru SBJK kemudian diraikan pula oleh Timbalan Pengarah Kepimpinan Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Dr. Ahmad Firdaus Arham.

Seramai 4,286 pelajar baharu pengajian ijazah sarjana muda sesi 2023/2024 mendaftarkan diri dan kemudian perlu mengikuti Minggu Apresiasi Watan selama tempoh lima hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN