KAJANG: Draf pertuduhan antara dokumen yang diperlukan Polis Antarabangsa (Interpol) dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum notis merah dikeluarkan kepada menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mengenai perkara itu, pihaknya tidak boleh membuat permohonan notis merah secara terus kepada Interpol.
“Sebaliknya kita perlu melalui pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Melalui polis, kita kemukakan apakah kehendak Interpol dan Interpol minta beberapa lagi dokumen tertentu untuk dipenuhi kehendak mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut berkaitan dokumen itu, menurut Azam, antara yang diperlukan ialah draf pertuduhan dan sebagainya.
Jelasnya, dokumen tersebut akan diserahkan kepada PDRM pada Isnin ini.
“Dalam Isnin depan, kita jangka akan serah kepada pihak polis,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sedang menunggu beberapa maklumat dari SPRM sebelum menghantar permohonan kepada Interpol.
Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung kes membabitkan Muhammad Adlan, 48 serta peguam, Mansoor Saat, 69.
Kedua-dua individu ini dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri dari negara ini pada Mei lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu menafikan beliau lari daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke tanah air bagi membantu siasatan. –UTUSAN