Doh: Tidak semua yang hilang boleh diganti - Utusan Malaysia

Doh: Tidak semua yang hilang boleh diganti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA beberapa tempat yang memberikan kita perasaan ‘pulang’ walaupun kita baru pertama kali menjejakinya. Buat saya, Ipoh adalah tempat itu. Redup, teduh, klasik, lengkap dan hangat menyambut saya seperti lengan seorang nenda. Membuatkan saya pernah bertekad untuk ke bandar itu setiap kali menyambut ulang tahun usia.

Saya baru menonton sebuah kraf daripada sutradara Arif Zulkarnain dan Haris M Nor menerusi filem mereka, Doh. Saya bersyukur kerana Ipoh diperlakukan dengan indah dan bermaruah dalam naskhah yang diterbitkan oleh Indigo Films milik pelakon, Syafiq Kyle.

Doh adalah sebuah filem metafora bermain dengan wacana di mana tempat sebenar kita harus berpulang. Dibuka dengan seorang lelaki bernama Faiz, lakonan Syafiq Kyle yang pulang ke tempat lahirnya, Ipoh kerana kematian ayahnya.

Dia kemudian diminta untuk mewarisi sebuah kedai roti dan kuih lama, berdinding kayu milik arwah bapanya, Farhan Bakeri. Diinspirasikan daripada Nurjahan Bakery yang berusia 120 tahun di Ipoh.

TIDAK SEMUA BENDA BOLEH DIGANTI

Namun Faiz sekarang orang Kuala Lumpur. Tangannya sudah lama tidak menguli tepung. Tak kuasa ingin bangun awal pagi membakar kuih kelapa. Kalau zaman arwah ayah, bolehlah. Zaman ini, orang mahu makan croissant. Lagi pula Faiz tak bercadang lama di Ipoh, setakat seminggu untuk menemani emak yang masih nangis-nangis.

Faiz adalah kita semua yang jauh-jauh cari rezeki di kota. Kesibukan dan hidup yang terkejar-kejar di bandar membuat kita tidak mempunyai masa untuk bernostalgia apa lagi mendengar suara-suara di dalam diri kita.

Entah kenapa, ingatan, kenangan dan nostalgia tiba-tiba menjadi suatu dosa. Sebab itulah Faiz tidak menangis walau ayahnya meninggal, dia selamba sahaja membuang doh terakhir yang dibuat bapanya ke dalam tong sampah di act pertama. Hidup yang terburu-buru secara perlahan membunuh rasa menghargai. Kita merasakan semua perkara boleh diganti.

Namun, seminggu sahaja di Ipoh mengubah, atau lebih tepat mengembalikan seorang Faiz. Suasana tenang, laid back Ipoh membawakan semula ingatan Faiz kepada arwah bapanya. Berputar-putar beberapa memori ke dalam kepala membuatkan kerinduan Faiz meluap-luap.

PERJALANAN MEMAHAMI PERASAAN

Filem Doh diserikan dengan beberapa elemen jenaka yang sangat menjadi daripada pemilihan nama seperti kumpulan rock Pink Black (saya yakin ilham dari Blackpink) juga kafe Akhirnya Kita Pastry (juga saya yakin dari lagu Anita Sarawak) serta watak komikal Taqim Zaki dan Yap.

Walaupun di awal filem ini anda mungkin akan banyak ketawa, namun jangan tertipu, kerana act ketiga naskhah ini sangat dalam mencengkam. Dialognya tidak meleret dan mewah tapi cukup membuat air mata tumpah.

“Roti pertama yang Faiz buat hodoh sangat. Tapi ayah kata sedap, sebab roti itu anaknya yang buat,” terus merentap jiwa anak rantau yang sudah samar-samar melupakan keluarga dan tempat di mana dia berasal.

Seperti yang saya katakan tadi, Doh memberikan kita visual yang indah, kudos kepada Idham Mad Din. Namun saya berpendapat di langgam act satu dan dua filem ini seperti ada yang hilang dan melompat-melompat. Mungkin kesan kerana dipotong terlalu banyak.

Selain itu, saya secara peribadi tidak puas melihat bagaimana Ipoh ditonjolkan dalam naskhah ini. Seperti ada lagi yang boleh diberi perhatian, galeri, penggiat seni atau sisi lain Ipoh yang boleh dibawa ke layar.

Apapun, ini naskhah yang baik dan kita memerlukan banyak lagi karya seperti ini. Saya berharap agar naskhah ini diperlakukan secara adil dan lebih ramai yang mempunyai peluang menontonnya. Jom ke Ipoh!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya