Anwar nafi campur tangan DNAA 

DNAA Ahmad Zahid atas budi bicara Peguam Negara, bukan campur tangan PM

ANWAR Ibrahim ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid daripada 47 pendakwaan jenayah adalah atas budi bicara Peguam Negara malah termaktub dalam Perlembagaan dan bukannya kerana campur tangan Perdana Menteri.

Malah kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau sendiri telah  meminta  penjelasan daripada Tan Sri Idrus Harun keputusan tersebut.

Tegas Perdana Menteri, beliau langsung tidak campur tangan dan mengetahui Peguam Negara memiliki budi bicara terhadap soal pendakwaan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan DNAA bukan sahaja satu perkara baharu, malah, pernah berlaku membabitkan beberapa kes sebelum ini dan menjadi rujukan kes sebelum ini.

“Kenyataan sebelum ini seolah-olah Perdana Menteri campur tangan. Kita cakap dengan hukuman dan keadilan, bukan dengan andaian. Apakah saya berbincang? Bila Peguam Negara buat keputusan, saya tanya dia apa alasan, dia beri 11 alasan, bukannya bincang.

“Tan Sri Idrus terpaksa tarik atas alasan tertentu, saya cakap tidak boleh tangguh? Dia cakap tidak boleh. Saya tahu ramai tidak puas hati, termasuk kawan-kawan saya, tapi saya faham. Tapi, janganlah menghukum saya campur tangan.

“Adakah ada rujukan? Ada. Sebelum ini beberapa rujukan membabitkan beberapa kes, Oleh kerana kes DNAA ini melibatkan kes dibangkitkan, akhirnya keputusan dibuat Peguam Negara,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, keputusan DNAA Ahmad Zahid daripada daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi mengundang pelbagai reaksi termasuk ahli Parlimen pembangkang.

Mereka mendesak kerajaan khususnya bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan penggantinya, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh tampil memberikan penjelasan berhubung keputusan DNAA itu.

Menurut Anwar, beliau hairan dengan sikap beberapa ahli Parlimen pembangkang yang tidak mempedulikan siasatan kes membabitkan bekas pemimpin terdahulu, namun, tidak pernah membangkitkan isu itu sehingga ke hari ini.

“Saya terkesan dan ucap terima kasih kepada rakan-rakan Yang Berhormat dengan semangat menentang rasuah, ini kesepakatan suara keras menentang keras, ini perkembangan baik,” katanya.

Dalam pada itu, pertengkaran antara Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tercetus ekoran kenyataan Anwar yang didakwa berkata mengaitkan penarikan pendakwaan dengan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Sebaliknya, Anwar menjelaskan beliau tidak menuduh individu tertentu secara spesifik.

“Kamu tahu pentadbiran dahulu bagaimana, Peguam Negara yang sama iaitu Tan Sri Idrus,” katanya.

Sementara itu, Anwar menegaskan, tiada siasatan membabitkan terhadap tindakan kritik kerajaan, sebaliknya siasatan hanya membabitkan jika menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan raja. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya