Dewan Rakyat sambung perbahasan RMK12, Syed Saddiq duduk di blok pembangkang

Dewan Rakyat sambung perbahasan RMK12, Syed Saddiq duduk di blok pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini menyambung semula perbahasan mengenai Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menurut aturan urusan mesyuarat dan usul pukul 10 pagi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mencadang bahawa Dewan menyedari cabaran untuk mengekalkan kestabilan dalam meluluskan KSP RMK12 dan mencapai pertumbuhan mampan dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global, kedudukan kewangan kerajaan serta pencapaian dua tahun pertama, 2021–2022 RMK12.

Perdana Menteri mencadang merestui usaha kerajaan untuk merancang dan melaksana agenda pembangunan negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, wadah Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Kerajaan mencadang meluluskan KSP RMK12 2023–2025 yang memberi keutamaan dan penekanan baharu atas dasar, strategi dan inisiatif bagi pembangunan sosioekonomi serta langkah memperkukuh tadbir urus ke arah negara yang mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi.

“Dalam meluluskan KSP RMK12, Dewan menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan adalah telus, adil dan saksama,” katanya.

Antara jangkaan berlaku adalah bagaimana pembangkang, Perikatan Nasional (PN) akan ‘menagih janji’ Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari semalam berhubung usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi memberi laluan kepada Peguam Negara, menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan pertuduhan rasuahnya.

Pembangkang semalam mendakwa Johari tidak mengotakan janji yang sebelum itu mahu ‘memberi ruang’ berbincang mengenai usul tergempar Wan Ahmad Fayhsal.

Bagaimanapun, ia tidak seperti yang digambarkan apabila mesyuarat Dewan Rakyat terus berakhir selepas Anwar selesai membentangkan KSP RMK12.

Perbahasan hari ini bakal menyaksikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditempatkan di blok pembangkang bermula hari ini susulan keputusannya menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Semalam, Malaysia melancarkan pelan pembangunan bernilai RM415 bilion bagi merancakkan pertumbuhan aktiviti ekonomi ketika negara berdepan kelembapan permintaan global, kekangan hutang lebih RM1 trilion dan cabaran ketidakstabilan politik berterusan.

Semakan RMK12 itu menyaksikan usaha untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor strategik, pelaksanaan infrastruktur penting dan menangani isu struktur yang membelenggu negara berdekad lama.

Sesi perbahasan oleh ahli Parlimen dijadual selama tiga hari bermula hari ini dan jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 serta 19 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya