Dewan Rakyat kecoh dengan isu DNAA Zahid 

Dewan Rakyat kecoh dengan isu DNAA Zahid 

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kekecohan berlaku di antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan. 

Penjelasan Anwar melibatkan Presiden UMNO itu amat mengundang kemarahan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin.

Sewaktu membentangkan pengggulungan, Anwar menyifatkan Radzi ‘melakukan perkara sama’ (melepaskan kes mahkamah seseorang yang dituduh) semasa mentadbir Kerajaan Persekutuan.  

Bagaimanapun, Anwar memberitahu, beliau pernah meminta bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menjelaskan situasi tersebut dan memberi 11 alasan sewaktu pertemuan mereka di Singapura. 

Ketika Anwar meneruskan penjelasan dalam sidang Dewan Rakyat, Radzi dilihat ketawa sehingga Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahannya, malah, Radzi dilihat cuba membuat kecoh di dalam dewan. 

Anwar: Anda boleh gelak Putrajaya, kerana anda buat perkara itu. Semasa pentadbiran (Perikatan Nasional), anda buat perkara itu (melepaskan kes mahkamah seseorang). 

Radzi: Ini perkara yang jahat. Peraturan 36 (6). Tarik balik! Tidak ada kaitan dengan saya. Tarik balik! Tarik balik! Tarik balik!

Beliau berkata, Radzi ‘tahu’ apa yang berlaku semasa pentadbiran PN sebelum ini, malah, bekas-bekas menteri Kabinet terdahulu juga berada di dalam Dewan Rakyat. 

“Peguam Negara yang sama, Tan Sri Idrus Harun, Putrajaya tahu apa yang berlaku,” kata Anwar.

Anwar berkata, terdapat contoh duluan (precedent) direkodkan berlaku ketika pentadbiran Kabinet terdahulu, termasuk PN yang antaranya melibatkan kes pendakwa raya melawan Siti Aisyah dan Doan Thi Huong, pada 2019.

Selain itu, katanya, contoh duluan lain membabitkan perintah DNAA bagi kes timbalan pendakwa raya (TPR) melawan (vs) Long Samat pada 1974; TPR vs Johnson Tan Han Seng (1977); TPR vs Zainuddin dan Anor (1986) serta Karpal Sing dan Anor vs TPR (1991).

Beliau menegaskan, DNAA terhadap Ahmad Zahid bukanlah suatu pertuduhan kali pertama yang dihentikan selepas kes prima facie berjaya dibuktikan di mahkamah. 

“Ahli Parlimen di sebelah sana (pembangkang) yang tidak mahu disebutkan kerana takut menyinggung…dalam kes DNAA membabitkan kes dibangkitkan, keputusan akhirnya adalah daripada Peguam Negara.

“Ketika saya disergah secara biadab, saya jawab dan saya kata memang betul Putrajaya (Radzi) tahu kerana pentadbiran terdahulu dan bekas Peguam Negara, sebab itu dia tidak tahan mahu dengar penjelasan. 

“Kerana mereka biasa dengan sistem berkenaan, mereka ingat saya (akan) teruskan dengan sistem itu,” katanya.

Bagaimanapun, Radzi masih tidak berpuas hati dan menuntut Anwar menarik balik kenyataannya. 

“Saya mahu Tambun tarik balik!” kata Radzi.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagaimanapun berusaha meredakan pergaduhan itu dan mengarahkan Radzi untuk duduk dan mendengar penjelasan Anwar. 

Bagaimanapun, Radzi masih berdegil sehinggalah diarah keluar dewan selepas mengganggu sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan.

Beberapa Ahli Parlimen PN termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan itu juga bertindak keluar dari Dewan Rakyat.

Sementara itu, pada sidang media ahli Parlimen pembangkang, Hamzah berkata, keputusan dibuat Johari adalah tidak adil kepada Ahli Parlimen Putrajaya (Radzi).

“Dalam perbahasan tadi, Yang Berhormat (YB) Tambun ada menimbulkan bahawa beliau menuduh Putrajaya melakukan sesuatu yang tidak baik. 

“Apabila saya minta beliau tarik balik, beliau pusing dengan menyatakan Putrajaya itu bukan bermaksud ahli Parlimen tetapi bermaksud pentadbiran Putrajaya. 

“Sepatutnya Yang Dipertua melakukan sesuatu dan bukannya menjadi seorang peguam,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN