KUALA LUMPUR: Dasar digital lebih inklusif akan diwujudkan oleh kerajaan untuk menambah baik persekitaran yang mendukung pembangunan ekonomi digital negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau sudah melakukan pertemuan dengan pemain-pemain utama dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi seperti Google, Amazon Web Services, Microsoft dan IBM.
Kata beliau, kesemua syarikat teknologi tersebut menunjukkan minat untuk menyokong usaha kerajaan bagi melahirkan lebih ramai bakat digital tempatan yang berkemahiran tinggi.
“Pembangunan syarikat pemula adalah prasyarat bagi mempercepatkan peralihan struktur ekonomi negara. Justeru, ekosistem modal teroka akan diperkukuh untuk mempercepat syarikat pemula berasaskan teknologi.
“Ini termasuk inisiatif khusus untuk mengumpul sumber pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tumpuan juga akan diberikan kepada pelabur dan syarikat pemula pada peringkat awal untuk perkasa bakat tempatan sebagai pencipta serta pembangun teknologi,” katanya ketika berucap semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berkata, satu konvensyen syarikat pemula akan dianjurkan oleh kerajaan dalam masa terdekat sebagai usaha menghasilkan lebih ramai usahawan tekno tempatan.
“Kerajaan juga menyediakan geran berjumlah RM266 juta pada tahun ini kepada syarikat pemula tempatan untuk melahirkan lebih banyak syarikat bertaraf ‘unicorn’ dan sebanyak RM63.9 juta telah disalurkan sehingga kini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan mengakui aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan daya cipta yang terarah adalah penting bagi mempercepat reformasi struktur ekonomi negara.
“Oleh itu, unit pengurusan penyelidikan akan diperkasa sebagai sebuah agensi tunggal bagi menyelaras dan mengurus aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan lebih cekap.
“Perbelanjaan kasar R&D kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan 2.5 peratus manakala sumbangan perbelanjaan R&D sektor swasta kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan R&D disasar sebanyak 70 peratus pada tahun 2025,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, dasar inovasi sosial akan diluncurkan pada November ini bagi menggalakan daya cipta pada peringkat akar umbi.
“Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan minat terhadap sains, teknologi dan daya cipta serta mampu melahirkan saintis bertaraf dunia,” ujarnya.-UTUSAN