Datuk, cucu lemas: Tutup segera ‘kolam terbiar maut’ - Utusan Malaysia

Datuk, cucu lemas: Tutup segera ‘kolam terbiar maut’

AMIR Othman melihat kolam yang meragut nyawa dua beranak pada Isnin lalu yang perlu ditutup bagi mengelak kejadian sama berulang di Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penduduk Taman Kempas di sini, menggesa pihak berkuasa menutup segera kolam terbiar yang mengorbankan dua nyawa Isnin lalu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati, ramai penduduk bim­bang ­keselamatan keluarga mereka terutamanya kanak-kanak kerana kolam itu sudah lebih dua tahun terbiar serta tidak berpagar.

Penduduk, Amir Othman, 50, berkata, kolam tersebut sering menjadi tumpuan kanak-kanak dan remaja bermain berikutan ia merupakan kawasan lapang berbumbung.

“Dahulunya kawasan ini dijadikan premis perniagaan serta pusat karaoke yang beroperasi dari petang hingga ke malam tetapi disebabkan kurang mendapat sambutan ia telah ditutup lebih dua tahun lalu.

“Kolam itu dibina oleh pemilik premis perniagaan untuk mengindahkan kawasan persekitarannya tetapi selepas ditutup ia terbiar,” katanya.

Bagi Alif Ikmal Kintan, 26, yang merupakan jurukimpal di sebuah kedai besi di kawasan berdekatan pula, dia sering me­larang kanak-kanak atau remaja yang bermain di kawasan itu kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Memang ada kanak-kanak datang bermain di sekitar kawasan kolam ini tetapi saya sering melarang mereka mandi-manda di situ kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

“Kolam terbiar sedalam hampir satu meter itu didapati licin dan dipenuhi dengan lumut dan sepatutnya telah lama ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Salmah berkata, dia hairan mengapa pemilik premis meninggalkan kolam itu terbiar sebegitu rupa.

“Sepatutnya kolam itu dipagar atau air di dalamnya dike­ringkan sebelum ditinggalkan kerana pelbagai perkara buruk boleh berlaku jika dibiarkan begitu saja.

“Kini pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera menutup kawasan itu daripada dikunjungi orang ramai bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang datuk, Azmi Abdullah, 78, dan cucunya, Muhammad Ziyaf Mikail Muhammad Yuzarith, 19 bulan, ditemukan terapung oleh seorang pekerja sebuah restoran berdekatan pada pukul 7.20 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya