Siapa kata anak jati Malaysia tidak mampu melangkah jauh dan mengukir nama di negara Barat khususnya dalam dunia seni hiburan Hollywood?
Tidak diberi peluang? Wajah Asia tidak cukup kacak atau jelita? Bakat orang Asia biasa-biasa sahaja? Semua itu jika hanya sengaja dijadikan sebagai satu alasan, bermakna, sampai bila-bila pun orang kita tidak akan berupaya mencipta nama di negara orang.
Apa lagi Hollywood, sebuah pentas seni antarabangsa yang tentunya membuka ruang buat sesiapa sahaja yang menyimpan impian untuk melakar nama di persada dunia.
Namun, tidak mungkinlah cuma ikon popular, Tan Sri Michelle Yeoh sahaja yang anda harus kenali. Berikut ialah antara anak jati Malaysia lain yang berupaya mengikuti jejak langkah Michelle Yeoh dan mencipta populariti di tempat orang.
HENRY GOLDING
Keputusannya untuk meninggalkan Malaysia dan kemudiannya berhijrah ke England ketika berusia 21 tahun ternyata satu langkah yang tepat.
Anak kelahiran Betong, Sarawak ini tidak kekok melebarkan sayap ke luar negara dengan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara dan hos program BBC dan Discover Channel.
Kemudian, bakatnya dikembangkan lagi dalam bidang lakonan selepas mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah di Hollywood. Kini, pelakon kacak ini cukup dikenali menerusi pembabitannya sebagai bintang utama filem Crazy Rich Asians dan naskah lain seperti A Simple Favor, Last Christmas, G I Joe Snake Eyes dan The Gentlemen.
Tidak cuma itu, Henry yang kini berusia 36 tahun turut diberi peluang untuk membintangi filem Persuasion tayangan di Netflix yang menyaksikannya berganding dengan pelakon Dakota Johnson.
JAMES WAN
Dilahirkan di Kuching, Sarawak dan membesar di Australia, James Wan tidak terkecuali membuatkan ramai kalangan peminat filem berbangga dengannya. Ia terutama menerusi garapannya dalam setiap naskah seram yang popular di Hollywood.
Antara filem yang diarahkan oleh James termasuk Annabelle, filem SAW, The Nun, The Conjuring, Insidious, Malignant, Dead Silence dan Lights Out.
Membuka produksi sendiri di bawah jenama Atomic Monster Productions, James terus memecut laju mencipta populariti tersendiri dalam bidang pengarahan di luar negara.
Selain filem seram, James turut mengarahkan filem genre lain seperti Furious 7 , Aquaman (2018) dan juga bakal tampil dengan filem terbaharu Aquaman and the Lost Kingdom.
REMY HII
Anak jati kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini juga tidak kurang hebatnya. Mula melebarkan sayap ke dunia perfileman Hollywood menerusi drama biopik bersiri, Van Tuong Nguyen, Remy memegang peranan sebagai seorang lelaki kacukan Australia-Vietnam yang ditahan di Singapura atas tuduhan penyeludupan dadah.
Kemudian, pada 2014, Remy diberi pula peluang untuk berlakon dalam drama bersiri berjudul Marco Polo sebelum turut mengikuti jejak Henry berlakon dalam filem Crazy Rich Asians.
Kepercayaan turut diberikan kepada Remy kemudiannya untuk filem popular terbitan Marvel, Spider Man: Far From Home yang menyaksikan pelakon ini membawakan watak Brad Davis.
Tidak cuma itu, Remy juga membintangi filem The Princess Switch 3 : Romancing the Star yang menyaksikannya memegang watak sebagai Peter Maxwell di samping aktres jelita, Vanessa Hudgens.
RONNY CHIENG
Lebih dikenali dalam dunia komedi, anak kelahiran Johor Bahru ini juga merupakan kebanggaan warga Malaysia. Memulakan kerjayanya di Melbourne, Australia, Ronny banyak mendapat kepercayaan untuk membuat persembahan komediri di pelbagai negara termasuk di New Zealand, Canada, London, India dan Singapura.
Dek kehebatannya dalam dunia pementasan komedi, Ronny kemudiannya berupaya memiliki empat pementasan istimewa yang mendapat perhatian ramai iaitu The Ron Way (2012), Can You Do
This? No You Can’t (2013), Chieng Reaction (2014) dan You Don’t Know What You’re Talking About (2015).
Berjenaka sahaja? Tidak, Ronny juga mengembangkan sayapnya dalam bidang lakonan dan ia dibuktikan menerusi naskah Crazy Rich Asians, Shang-Chi and The Legend of Ten Rings termasuk Ronny Chieng: Speakeasy di siaran Netflix.