PETALING JAYA: DAP didakwa hipokrit dan gila kuasa serta tiada prinsip kerana sudah mengikut telunjuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilepaskan daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, malah, Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming didakwa menjadi puppet (patung) untuk menyucikan orang korup kerana jawatan menteri.
“DAP sudah jadi lapdog (orang suruhan) kepada Zahid. Hipokrit. Gila kuasa. Tiada prinsip.
“Dulu @NgaKorMing yang tuduh Zahid korup. Dulu, dia tuduh PM @IsmailSabri60 ‘Puppet’ Zahid. Kini dia yang jadi puppet sucikan orang korup kerana jawatan menteri,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau hari ini.
Terdahulu, Kor Ming berkata, adalah lebih profesional sekiranya Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen menyokong kerajaan, berbincang dengan pucuk pimpinan berhubung perkembangan kes Ahmad Zahid, selain membuat kenyataan kepada media.
Beliau juga berkata DAP tidak akan menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan susulan perkembangan kes Ahmad Zahid.
Sebelum ini, Syed Saddiq memberi amaran bahawa Muda tidak akan teragak-agak menilai semula kedudukan parti itu dalam kerajaan dengan partinya mengatakan perkembangan terkini kes itu ‘melanggar garis merah’.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu. -UTUSAN