DAP mahu arusperdanakan wanita dalam parti - Utusan Malaysia

DAP mahu arusperdanakan wanita dalam parti

Wanita DAP
ANTHONY Loke Siew Fook berucap pada perasmian Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2023 di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: DAP berhasrat menjadi parti politik pertama mengarusperdanakan kehadiran wanita dalam kepimpinannya termasuk memainkan peranan sebagai pimpinan utama tanpa perlu mengharapkan kuota 30 peratus seperti dilakukan sekarang.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP perlu mengambil contoh parti-parti di negara maju di Eropah seperti Sweden yang tidak memerlukan sayap wanita untuk memastikan peranan kumpulan itu sebagai pembuat keputusan dan dasar.

“Parti Sosial Demokrat di Sweden tak perlu sayap wanita sebab kepimpinannya ramai wanita, kabinetnya lebih separuh wanita, Perdana Menteri pun wanita, apa lagi perlu sayap wanita?

“Jadi, saya berharap, ini cabaran kepada pucuk wanita baharu, bawa anjakan paradigma, hari ini perjuangan bukan lagi soal 30 peratus, beritahu semua orang kuota itu bukan sasaran utama.

“Matlamat utama kita adalah untuk mengarusperdanakan wanita dalam politik dan pembuat keputusan. Suatu hari nanti kita lihat lebih ramai wanita dalam pucuk pimpinan parti, Majlis Eksekutif Pusat (CEC), itu adalah aras tanda kejayaan DAP sebagai sebuah parti progresif,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2023, hari ini.

Jelasnya, pucuk pimpinan baharu yang dibentuk pada kongres tersebut dicabar untuk mengangkat siling perjuangan wanita daripada soal kuota 30 peratus kepada mengarusperdanakan kumpulan itu sama seperti lelaki sebagai pembuat keputusan dan dasar.

“Kepada pimpinan wanita yang akan dibentuk, saya berharap kita mesti ada anjakan paradigma, perjuangan wanita tidak seharusnya terhad kepada 30 peratus, kita mesti pertama tukar konsep tersebut.

“Daripada mencapai 30 peratus sasaran dalam semua peringkat, ke arah mainstream (mengarusperdanakan) wanita dalam semua peringkat, kita kena angkat siling tersebut. Saya berharap DAP adalah parti politik di Malaysia yang satu hari nanti tak perlu lagi sayap wanita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya