Daesh: Bekas penjual cendol kekal dipenjara 10 tahun

Daesh: Bekas penjual cendol kekal dipenjara 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang bekas penjual cendol atas sembilan kesalahan antaranya memiliki dan mengedar barangan berkaitan pengganas Daesh serta memberi sokongan kepada kumpulan itu, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir Nahzatulazran A. Rahman, 44, terhadap hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan hukuman penjara 10 tahun bagi sembilan kesalahan itu berjalan serentak.

Hakim Mohamad Zabidin ketika menyampaikan keputusan itu berkata, hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan bukan terlalu berat yang memerlukan panel tersebut untuk campur tangan.

Terdahulu, peguam Usha Kulasegaran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya hanya merayu terhadap hukuman.

Ujar peguam bela, meskipun perayu dijangka dibebaskan pada 10 Mei tahun depan, anak guamnya tetap berhasrat meneruskan rayuan agar hukuman itu dikurangkan.

“Saya mencadangkan perayu dikenakan hukuman tidak melebihi tujuh tahun kerana anak guam saya telah berada dalam penjara hampir enam tahun. Dia mempunyai dua anak berusia 13 dan 15 tahun,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi memohon rayuan itu ditolak dan hukuman penjara 10 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 18 Julai 2022, dikekalkan.

Hujah Tetralina, keterangan saksi pakar menunjukkan video berkaitan pemilikan item dan tahanan-tahanan kumpulan pengganas Daesh.

“Keterangan saksi terlindung pula menyatakan perayu memintanya menyediakan wang RM500 bagi membolehkannya ke Filipina dan menyertai kumpulan itu,” ujar Tetralina.

Ketika perbicaraan, pihak pendakwaan juga memohon hukuman penjara lebih panjang, bagi membolehkan tertuduh menjalani rehabilitasi di penjara kerana fikirannya sangat cenderung kepada ideologi kumpulan pengganas itu, sehingga seorang saksi menyatakan tertuduh pernah mengajaknya berjihad ke Marawi, Filipina.

Pada 5 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun selepas mendapatinya bersalah atas sembilan pertuduhan berkaitan pengganas Daesh.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Nahzatulazran menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 10 September 2017.

Bagi tiga pertuduhan memberi sokongan kepada Daesh, Muhammad Jamil menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak.

Bagi dua pertuduhan memiliki item, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak.

Sementara itu, bagi empat pertuduhan mengedar item berkaitan pengganas, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan juga dilaksanakan serentak.

Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan berasingan menjadikan keseluruhan hukuman penjara selama 16 tahun.

Bagi tiga pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh, lelaki itu didakwa mempromosi kumpulan pengganas melalui pengedaran bendera, kain berwarna putih dan hijau muda dengan tulisan Jawi kepada tiga individu.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan tersebut.

Sementara, bagi dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan Daesh, dia didakwa memiliki satu helai bendera berwarna putih, dua papan berukir kalimah dalam Bahasa Arab, dua bingkai gambar, gambar-gambar dan video berkaitan kumpulan pengganas itu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucutkan hak ke atas barang-barang tersebut.

Sementara bagi empat pertuduhan mengedar item berkaitan Daesh, Nahzatulazran didakwa mengedar sehelai bendera hijau bertulisan hitam, empai helai bendera hitam dan dua helai kain berwarna putih serta hijau mengandungi tulisan Jawi kepada beberapa individu, mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya sekitar kampung di Melaka Tengah, dan di sebuah rumah di Kepong di sini, pada Januari dan September 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya