BESUT: Kemeriahan cuti persekolahan di sekitar Terengganu sejak Jumaat minggu lalu memberi rahmat dan durian runtuh kepada golongan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negeri ini.
Kehadiran pelancong tempatan dari luar Terengganu menjadikan penjaja dan peniaga kecil tidak menang tangan dan tersenyum lebar apabila mampu meraih pendapatan dua kali ganda berbanding biasa.
Pemilik Sate Lanang di Jabi, Mohamad Faizal Mat Seman, 44, berkata, jualan sate meningkat lebih 11,000 cucuk berbanding 5,000 hingga 6,000 cucuk pada hari-hari biasa.
Menurutnya, bilangan pekerja juga terpaksa ditambah kepada 20 orang untuk memastikan pelanggan mendapat sate yang diidamkan dengan cepat dan dimasak dengan sempurna.
“Alhamdulillah, memang bersyukur sangat kerana pelanggan tak henti-henti datang sejak kedai dibuka 2 petang hingga 10 malam sejak mula cuti sekolah.
“Sate yang paling mendapat permintaan tinggi ialah sate ayam selain daging, hati dan pedal. Keuntungan yang diperolehi dapatlah disimpan untuk menampung kos pengurusan kedai makan pada hari-hari biasa sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Bagi peniaga keropok lekor di Losong, Mustafa Ramli, 45, berkata, ramai pelancong datang ke sekitar kawasan tersebut untuk membeli makanan tradisional rakyat Terengganu itu sebagai buah tangan untuk dihadiahkan kepada kawan dan saudara-mara.
Katanya, sejak pagi, memang berlaku kesesakan luar biasa di sekitar Losong kerana ia adalah tempat yang sangat sinonim dengan penghasilan keropok lekor di Terengganu.
“Alhamdulillah, rezeki kami musim cuti persekolahan kali ini memang kemeriahannya sangat terasa. Ramai mengakui datang ke Terengganu kali ini memandangkan ini adalah cuti terakhir sebelum musim tengkujuh bermula November depan.
“Mereka tidak mahu datang ke Terengganu pada musim tengkujuh kerana tidak boleh bersiar-siar ke lokasi menarik dan bimbang dengan risiko banjir.
“Kebanyakan yang datang memborong keropok lekor sejuk beku untuk dibawa pulang ke tempat asal sebagai stok kudap-kudapan kerana ia lebih tahan lama dengan keenakan rasa yang tidak terjejas,” katanya. – UTUSAN