Christopher jadi wakil tunggal negara ke Athletics Road Running World Championship - Utusan Malaysia

Christopher jadi wakil tunggal negara ke Athletics Road Running World Championship

S. CHRISTOPHER (tengah) bersama Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) ketika majlis penyerahan bendera Malaysia dan Pulau Pinang di George Town, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Anak jati Pulau Pinang, S. Christopher, 30, menjadi wakil tunggal Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke Athletics Road Running World Championship, di Latvia, 1 Oktober depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Christopher merupakan atlet acara larian daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penang Forward Sports Club dan berjaya mencatatkan masa 1 jam sembilan minit dalam acara Half Marathon 21 kilometer di Gold Coast Marathon, 30 Jun lalu.

”Kejayaan ini telah melayakkan Christopher menyertai Athletics Road Running World Championship dengan masa rujukan kelayakan adalah di bawah 1 jam 10 minit.

”Sebagai anak jati Pulau Pinang, kejayaan Christopher wajar dibanggakan kerana dia hanya merupakan pelari amatur dan bukannya profesional yang berlari sepenuh masa dalam pasukan kebangsaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, disebabkan Christopher bukan pelari berdaftar pasukan kebangsaan negara, maka beliau
menghadapi beberapa kesukaran termasuk dari aspek kewangan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.

”Dengan ini, bagi pihak kerajaan negeri saya mengucapkan terima kasih kepada Penasihat Penang Foward Sport Club, Datuk Tom Khoo yang bersetuju menaja dan membiayai segala perbelanjaan Christopher yang keseluruhan berjumlah RM10,000 meliputi tiket penerbangan, penginapan, dan lain-lain.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada beliau dan berharap Christopher dapat mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Christopher yang merupakan jurulatih fizikal pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh dalam acara berkenaan memandangkan bukan mudah untuk melayakkan diri ke Athletics Road Running World Championship.

“Saya sangat gembira kerana dapat melayakkan diri ke acara larian peringkat dunia ini dan saya berazam untuk mengharumkan nama negara.

”Saya merupakan wakil tunggal Malaysia ke acara tersebut dan cabaran utama yang akan saya hadapi adalah soal cuaca kerana kemungkinan perlu berlari dalam cuaca sejuk,” katanya.

Christopher yang merupakan anak kelahiran Bayan Lepas dekat sini berkata, beliau akan menggunakan acara tersebut sebagai platform untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN