PETALING JAYA: Polis mengesahkan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard dibebaskan pagi ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan lelaki berkenaan dibebaskan kira-kira pukul 3 pagi tadi selepas keterangannya diambil.
“Ya, sudah dibebaskan,” katanya.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ditahan polis di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Penahanan itu dibuat susulan keengganan memberi kerjasama atas proses siasatan terhadap enam kertas siasatan yang dibuka sejak Jun lalu.
Antara kesalahan melibatkan lelaki berusia 41 tahun itu adalah menyentuh isu blok Ambalat, pendedahan dokumen rasmi kerajaan dan beberapa kes yang lain.
Tangkapan tersebut tidak melibatkan ‘Himpunan Aman Selamatkan Malaysia’ yang dijadualkan di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, Sabtu ini.
Antara kes yang disiasat polis berhubung kenyataan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan Ambalat Kepada Indonesia, pendedahan dokumen kerajaan dan beberapa kes berkaitan dakwaan terhadap pemimpin kerajaan.
Kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 203A KK, Seksyen 504 KK, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sebelum ini, pihak polis memberikan notis terhadap Che’gu Bard, namun dia enggan merakamkan percakapan.-UTUSAN