Ceramah di meja kenduri - Utusan Malaysia

Ceramah di meja kenduri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK pernah terbayang, saya akan berbincang hal-hal kritis di meja kenduri kahwin. Tapi itulah harga yang saya perlu bayar untuk berkawan dengan orang macam Zhafirin Zulkifli.

Saya datang kenduri malam itu sebab nak tengok Zhaf dan Atiqah bersanding atas pelamin saja. Mereka pasangan yang rugged, mestilah seronok dapat lihat kedua-duanya berbusana pengantin.

Sampai-sampai memang saya cari kembar Zhaf dulu, Zim Ahmadi. Memang elok duduknya di meja belakang makanan. Di meja itu juga ada muka lain yang saya kenal, iaitu Lucy Montk, rakan zaman Kuliah Buku dulu.

Ada juga seorang lelaki yang saya macam kenal tapi tak berani nak buat-buat kenal. Dah duduk lama sedikit, selepas Sue Emoqwin dan Sijasad Bersiong duduk sekali, baru saya tahu dia siapa.

Biarlah saya rahsiakan identiti lelaki ini sebab boleh tahan besar dosanya kepada saya. Dia buat saya balik kenduri dengan fikiran berat.

KRITIKKRITIKKRITIK

Pada pusingan awal perbualan, saya masih okay. Mereka buka banyak gosip lapangan buku. Saya di luar lapangan itu, jadi bawangnya tidak pedih pada saya.

Tapi, mungkin sebab ada jeda kekok yang agak lama, Zim menyentuh hal muzik. Lelaki itu, tanpa sedikit pun ragu, terus membentangkan syarahannya.

Dia petik hal festival muzik yang bariskan 75 artis. Dia bangkitkan soal kugiran yang tidak berkembang. Kemudian keluar ayat yang menyentap: “Tak ada siapakah nak menulis tentang semua ini?”

Dia bawa keluar bawang holland sebesar penumbuk, dihiris-hiris dengan kasar, terpercik segala kimia pedih ke mata saya.

Zim terkekek-kekek di sebelah. Ayam masak merah saya hilang rasa. Sirap jadi tawar.

Paling pedih, yang keluar dari mulut lelaki itu hampir sepenuhnya benar-benar belaka. Banyak hal yang tak sihat dalam lapangan sekarang tapi semua dibiarkan sepi, disapu bersih ke bawah karpet.

JAGA HATI ATAU JAGA JATI

Ada dua hal saya sebut di meja bulat penuh biskut doorgift itu.

Satu, susahnya nak jadi penulis yang kritis apabila kita sendiri berkawan dengan penggiat lapangan. Sentuh sedikit ada yang terluka.

Hal itu, menurut lelaki itu, memang cabaran menjadi penulis. Akhirnya, kita sendiri perlu buat pilihan: mahu korbankan kejatian penulis atau jaga hati kawan?

Sebab tak semua orang faham bahawa kritik itu bukan mengecam atau mahu menjatuhkan. Tak semua kritik didorong niat jahat. Berapa kerat sahaja manusia yang faham hal ini?

Lebih ramai yang pantang dikritik. Mahu segala kerjanya diangkat dan dipuja sepanjang masa. Yang mengkritik akan dianggap musuh. Bagi mereka, hal-hal buruk tentang kerja mereka eloklah disampaikan secara peribadi, jangan dibentang di ruang awam (sedangkan kalau kita cakap secara peribadi pun, mereka melenting juga).

Kritik harus di ruang awam atas dua sebab. Satu, kita tidak mahu idea-idea kritikan itu dibahas oleh dua pihak saja: yang mengkritik dan yang dikritik. Kita mahu pelawa sesiapa sahaja untuk memberi respons atau sekurang-kurangnya, memikirkan hal yang dikritik itu. Tujuan kritik adalah untuk mewujudkan wacana.

Dua, sebagai ujian untuk kritikan itu sendiri. Kritikan yang disampaikan secara peribadi tidak diuji banyak, lebih-lebih lagi kalau kita kenal orang yang dikritik itu; kita dapat jangka reaksinya bagaimana.

Kritik di ruang awam lebih besar tanggung­jawabnya. Lebih ramai yang akan baca, maka proses pembentukannya lebih teliti. Kita berhati-hati membina hujah, beban bukti disemak berkali-kali.

Apatah lagi kalau menulis untuk mana-mana penerbitan, kita kendong sekali imej penerbitan itu.

Yang berakal renek akan fikir kritikan secara peribadi itu lebih terhormat dan beradab. Tidak, kritikan di ruang awamlah yang terhormat dan beradab kerana proses pembentukannya lebih teliti.

SOKONG BAWA REBAH

Hal kedua yang saya sampaikan pada lelaki itu, lapangan muzik, terutamanya independen, sangatlah rapuh. Majoritinya tidak bersedia untuk menjadikan kritikan sebagai budaya.

Saya maksudkan lapangan muzik independen semasa. Dahulu, kugiran berebut hantar demo pada pengkritik untuk dinilai. Kalau dikritik pun, mereka sambut baik. Tapi sekarang, kerana semakin tenggelam dalam sentimen sokong produk tempatan, kritik sudah asing.

Kalau boleh, semua yang dibuat dalam lapangan ini perlu diberi ibu jari tanda bagus sebab ‘kita kena sokong produk tempatan’. Lama-lama, lemaslah kita dalam kebiasa-biasaan.

Hal kedua pun dipersetujui lelaki itu tetapi katanya, yang disambut setuju oleh Zim, perlu ada yang mulakan. Hal yang kita yakin buruk tak boleh dibiarkan terus buruk, kalau kita sayang pada hal itu.

Begitulah lelaki itu memberikan kenangan kenduri kahwin yang akan saya ingat lama. Ingat dapat duduk tenang menikmati lauk kenduri, rupanya malam itu saya disuntik idea berat.

Saya nak salahkan lelaki itu atau persoalkan kredibilitinya untuk berkata begitu juga tak boleh. Dia cakap bukan dengan tekak kosong. Kerjanya dalam bidang penulisan, malah muzik bukan biasa-biasa.

Saya tinggalkan gambar hiasan artikel ini untuk anda teka siapa lelaki itu. Dan segala idea berat yang disuntik dalam kepala malam itu saya simpan dalam bilik khas dalam memori. Suatu hari nanti, apabila bersedia, saya akan keluarkan juga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya