KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa.
Penahanan wanita berusia lingkungan 50-an itu dilakukan pada 6.30 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Satu sumber mendedahkan, suspek didakwa menggunakan kedudukannya melantik sebuah syarikat untuk mengubah suai gudang dan bekalan perabot bernilai RM1.9 juta, sedangkan pembekalan dan pengubahsuaian itu tidak dilaksana mengikut spesifikasi.
Kata beliau, suspek dipercayai menggunakan nama sebuah syarikat lain sedangkan kontraktor sebenar adalah syarikat milik suspek sendiri.
“Hasil siasatan dilakukan mendapati suspek tidak membekalkan perabot dan pengubahsuaian gudang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dalam kontrak
“Sejumlah wang kira-kira RM300,000 dikesan dimasukkan ke dalam akaun suspek,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek sudah dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selepas keterangannya direkodkan. -UTUSAN