Cake nafi pembelian panik punca beras tempatan kurang

Cake nafi pembelian panik punca beras tempatan kurang

Bekalan beras tempatan semakin sukar diperolehi dalam pasaran sejak kebelakangan ini, -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengguna dan rakyat tidak seharusnya dipersalahkan berhubung isu ‘kehilangan’ beras tempatan ketika ini dengan dakwaan kononnya mereka melakukan pembelian panik hingga menyebabkan bekalan barangan tersebut kurang di pasaran. 

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, dakwaan sedemikian tidak seharusnya dibuat oleh mana-mana pihak apatah lagi oleh seorang menteri ketika rakyat berdepan kepayahan untuk mencari makanan ruji mereka pada harga berpatutan. 

Beliau berkata, Cake menyangkal dakwaan itu kerana sebelum ini bekalan beras tempatan dalam keadaan baik namun apabila beras import diumumkan naik harga pada 1 September, bekalan beras tempatan tiba-tiba hilang dari pasaran. 

“Sebelum salahkan pengguna kononnya buat pembelian panik, semak dulu kadar bekalan diterima peruncit terutamanya pasar raya-pasar raya besar. Adakah mereka menerima jumlah bekalan yang sama seperti sebelum ini.” soalnya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan harga barang di Pasar Besar Alor Setar di sini, hari ini. 

Ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran berpunca daripada pembelian panik dalam kalangan rakyat. 

Menurut Mohamad, beras tempatan yang sebelum ini tidak dipedulikan rakyat termasuk oleh para peniaga mula dicari selepas kenaikan harga beras import hingga menjadikannya sebagai permintaan utama, sekali gus menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan. 

Yusrizal berkata, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin pun sebelum ini pernah beritahu yang pasar raya tersebut menerima bekalan beras pada kadar sangat rendah berbanding sebelum ini. 

“Jadi bagaimana pula mahu salahkan pengguna kononnya membuat pembelian panik sedangkan peruncit pun terima bekalan yang sedikit? 

“Jadi kami mahu terus persoalkan, ke mana sebenarnya beras tempatan itu pergi? Mengapa pula beras import boleh diperolehi di mana-mana dan beras tempatan pula hilang sedangkan dasar pengeluaran beras negara adalah 30 peratus beras import dan 70 peratus beras tempatan,” soalnya. 

Mengulas lanjut Yusrizal berkata, tidak sukar untuk pihak kementerian melakukan pemeriksaan di pasar raya-pasar raya besar kerana sistem digunakan sentiasa teratur. 

“Lihat data-data yang ada mengenai bekalan beras tempatan diterima setiap pasar raya dan jumlah pembelian dibuat pengguna. Buat perbandingan dan lihat sama ada benar-benar wujudkah pembelian panik itu? 

“Tunjukkan buktinya, barulah kami percaya. Yang kita lihat sekarang ini, seolah-olah berlaku penyelewengan atau penyimpanan stok oleh pihak tertentu kerana hasil tuaian padi negara selama ini tidak pula berkurang,” katanya.

Beliau menambah, kalangan pengguna ketika ini tampak masih belum berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menangani isu tersebut yang dilihat kian berlarutan. 

“Usaha itu ada tetapi sangat perlahan. Kami bimbang sekiranya krisis ini berlanjutan dan menjadi lebih buruk. 

“Jangan ada penafian berhubung isu ini dan dalam masa sama, berhentilah daripada menyalahkan pengguna kononnya membuat pembelian panik. Kalau berlaku pembelian panik pada Julai dan Ogos, mungkinlah itu sebabnya berlaku kekurangan bekalan pada September tetapi kita lihat, tiada pula berlaku pembelian panik dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya