SABAK BERNAM: Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, menolak permohonan seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasih hamilnya pada Mei lalu supaya merujuk kes itu kepada hospital psikiatri.
Majistret Siti Hajar Ali berkata, mahkamah meneliti permohonan dibuat peguam bela mewakili tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, pada 3 Ogos lalu.
“Selepas menelitinya mengikut peruntukan 342 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah berpendapat permohonan itu hendaklah diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi.
“Penolakan permohonan di peringkat ini juga tidak akan memprejudiskan hak tertuduh yang boleh diwakili peguam peguam bela dalam setiap masa,” katanya.
Tambah beliau, pihak pembelaan boleh membuat permohonan itu pada bila-bila masa di Mahkamah Tiggi yang akan menjalankan perbicaraan kes itu kelak.
Peguam bela Muhammad Nor Tamrin sebelum ini mengemukakan permohonan merujuk tertuduh kepada psikiatri dengan mengambil kira faktor natural case yang didakwa dilakukan anak guamnya dan keterangan terbaharu berkaitan keadaan mental.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri memohon tempoh bagi menyediakan laporan kes berkenaan.
Majistret Siti Hajar Ali kemudian menetapkan 7 November depan bagi sebutan semula kes berkenaan.
Terdahulu, Muhammad Fakrul Aiman yang berbaju T putih itu sebelum ini dituduh melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun dekat Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei lalu.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Utusan Malaysia pada 24 Mei lalu melaporkan seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek sebanyak dua kali selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa. – UTUSAN