Bung Moktar, Zizie Izette lepas dan bebas tuduhan rasuah

Bung Moktar, Zizie Izette lepas dan bebas tuduhan rasuah RM2.8 juta

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izette A. Samad meninggalkan pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belum pun reda isu keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Isnin lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad pula dilepaskan dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta, lapan tahun lalu.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas membenarkan permohonan pasangan suami isteri itu untuk menyemak perintah Mahkamah Sesyen pada akhir kes pendakwaan.

Dengan keputusan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan menerima rasuah dan bersubahat.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Azhar berpuas hati, kes itu sesuai bagi beliau mengguna pakai Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk menyemak permohonan tersebut.

Ujar hakim berkenaan, mahkamah berpendapat, tiada bukti yang menunjukkan dua saksi material pendakwaan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar memberi rasuah kepada Bung Moktar, 66, melalui Zizie Izette, 46.

“Selepas meneliti rekod prosiding, mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan kedua-dua saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 itu memberi rasuah kepada Bung Moktar melalui isterinya.

“Keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan merupakan satu salah laksana keadilan,” ujar beliau ketika membacakan keputusan ringkasnya.

Kes itu sepatutnya disebut di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 13 September ini bagi perkembangan prosiding bela diri kedua-duanya. Dengan keputusan itu, Hakim Azhar melapangkan tarikh prosiding berikutnya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dilihat berpelukan sambil menangis sebaik sahaja Hakim Azahar selesai bersidang dalam mahkamah penuh sesak dengan penyokong-penyokong mereka.

Pada sebelah pagi, mahkamah mendengar penghujahan kedua-dua pihak pemohon dan responden dalam permohonan semakan itu.

Peguam M. M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar berhujah, tiada bukti menunjukkan Bung Moktar menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta daripada dua ejen pelaburan unit amanah Public Mutual, melalui Zizie Izette.

Beliau berhujah, Madhi dan Norhaili ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, tidak pernah menyatakan mereka memberi wang tersebut bagi pihak Bung Moktar.

Sehubungan itu, Athimulan menghujahkan, tiada bukti secara rekod atau berdokumen bahawa Bung Moktar menerima suapan mahupun Zizie Izette menyerahkan wang itu kepada suaminya, seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Pada 14 Januari 2022, Madhi berkata, Bung Moktar tidak pernah meminta komisen RM3.5 juta daripadanya sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah.

Madhi berkata, Bung Moktar tidak meminta komisen RM3.5 juta, sebaliknya beliau sendiri (Madhi) bersetuju wang RM2.2 juta diberikan kepada Datin Seri Zizie Izette A. Samad sebagai `wang pengenalan’.

Norhaili pula ketika memberi keterangan turut menyatakan, tiada sebarang permintaan rasuah daripada Bung Moktar mahupun Zizie Izette sebaliknya wang RM2.8 juta yang dibayar kepada isterinya adalah `wang pengenalan’, bukan rasuah.

Athimulan berhujah, dapatan hakim Mahkamah Sesyen ketika memerintahkan kedua-duanya membela diri, tidak selaras dengan prosedur di bawah Seksyen 173 Kanun Prosedur Jenayah.

Hujah beliau, dapatan hakim berkenaan pada peringkat prima facie tidak betul, tidak sah dan tidak teratur kerana ia diperolehi tanpa menimbang keterangan material saksi pendakwaan ke-24 dan 25.

Hujahnya, dapatan hakim bicara itu satu kesilapan kerana dibuat tanpa berlandaskan kepada bukti keterangan yang dikemukakan dan jika dikekalkan akan menyebabkan salah laksana keadilan terhadap kedua-dua tertuduh.

Sehubungan itu, beliau menghujahkan, mahkamah boleh melaksanakan bidang kuasa semakan di bawah Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memastikan keputusan itu dibuat berlandaskan undang-undang.

Hujah beliau, Mahkamah Tinggi boleh memanggil rekod prosiding Mahkamah Sesyen bagi mengesahkan dapatan hakim bicara dan seterusnya mengetepikan perintah yang dikeluarkan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berhujah, keputusan hakim Mahkamah Sesyen memanggil kedua-dua membela diri tidak perlu disemak kerana tidak berlaku salah laksana keadilan seperti yang didakwa kedua-duanya.

Chin How seterusnya berhujah, hakim bicara tidak membuat keputusan itu hanya berdasarkan keterangan dua saksi material tersebut (Madhi dan Norhaili) sebaliknya turut mengambil kira saksi-saksi pendakwaan lain.

Hujah beliau, pada peringkat ini, kedua-dua tertuduh belum lagi mengemukakan keterangan bela diri manakala tiada bukti menunjukkan hak mereka untuk satu perbicaraan yang adil, dinafikan.

Hujah pendakwa raya, pemohon boleh pada bila-bila masa mengemukakan rayuan jika mereka disabitkan atas pertuduhan masing-masing pada akhir kes pembelaan.

“Mereka belum lagi didapati bersalah kerana perbicaraan masih berlangsung. Malangnya, mereka memilih untuk bergantung kepada semakan, bukan melalui landasan yang betul iaitu rayuan,” ujar beliau.

Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara menghantar balik permohonan semakan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.

Mahkamah berpuas hati, Seksyen 35(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa menyemak keputusan mahkamah rendah pada mana-mana peringkat jika terdapat keperluan berbuat demikian sama ada melalui notis usul atau memanggil rekod prosiding mahkamah berkenaan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN