KLANG: Atas kepuasan dan tanda kematangan sebagai penyanyi, Alif Satar & The Locos memilih untuk menghasilkan sebuah album dengan nama yang sama.
Menurut Alif Satar, banyak artis cenderung menghasilkan single lagu di era digital namun mereka memilih untuk melawan arus dengan menghadiahkan sebuah album penuh yang memuatkan tujuh lagu.
Bagi Alif dan band The Locos yang dianggotai Tam Cobain, Efry, Faliq Auri dan Rajwan, album adalah sebuah kejayaan dan ‘sijil’ bagi seseorang penyanyi.
“Kami tidak nafikan di zaman ini ramai yang memilih untuk menghasilkan single. Tapi bagi kami sebagai sebuah band, album adalah tanda bahawa kami memang serius untuk menghasilkan muzik.
“Bukan sekadar mahu kekal relevan dalam industri sahaja, tapi ia menunjukkan kematangan seseorang artis dari aspek muzik dan karakter. Menghasilkan album adalah sebuah perjalanan dan proses belajar daripada kesilapan,” kata Efry Arwis yang juga merupakan gitaris bagi band Alif & The Locos.
Band tersebut ditemui Utusan Malaysia semasa majlis pelancaran album di kapal persiaran mewah Resorts World Cruises pada Khamis.
Bercerita mengenai perjalanan sebagai sebuah band, Alif Satar mengakui banyak kejayaan dalam dikecapi selepas dia bernyanyi bersama The Locos.
Antaranya, dia diberi kesempatan membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia, tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu (AJL 37) dan terkini membuat persembahan di sebuah festival muzik terbesar Malaysia, Hausboom.
“Genre muzik band kami berbeza kerana kami tampil versatile. Kami bawa balada, rock, K-pop dan R&B. Lagu Anugerah Terindah adalah genre yang baru, sebuah perjudian juga untuk Warner Music Malaysia sebab kos pembikinan muzik video itu merupakan yang termahal.
“Baru-baru ini juga kami pulang daripada festival Hausboom, tidak sangka lagu-lagu kami juga diterima oleh budak-budak ‘indie’,” tambah Alif Satar.
Ditanya apakah impian terbesar kumpulan itu selepas ini, mereka memasang angan-angan untuk mengatakan sebuah konsert berprestij di Royal Albert Hall, London suatu hari nanti.
“Ada tiga nama sahaja yang pernah buat persembahan di sana iaitu Datuk Sudirman Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Raihan.
“Membuat persembahan dan menghiburkan penonton di lokasi berprestij itu adalah sebuah kejayaan yang luar biasa untuk dikenang. Kami akan berusaha bersungguh-sungguh agar band kami juga layak membuat persembahan di sana,” katanya.
Peminat boleh mendengar album terbaharu mereka menerusi laman penstriman digital. Pihak mereka juga turut merancang untuk menghasilkan album fizikal namun masih dalam proses perbincangan. Sebarang berita baik, akan diumumkan kepada peminat kelak.