BN yakin pertahan Pelangai -Ahmad Zahid

BN yakin pertahan Pelangai -Ahmad Zahid

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam (tengah) diiringi penyokong tiba di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, minggu lalu. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Barisan Nasional (BN) yakin mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai walaupun wujud pelbagai usaha pihak lawan untuk meracuni pemikiran pengundi termasuk menafikan usaha pembangunan dilakukan kerajaan selama ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pelangai bakal mengulangi kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tioman meskipun dalam keadaan serba kekurangan dengan bersandarkan keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Justeru, kata beliau, BN harus berusaha sedaya upaya sehingga ke saat akhir kerana pihak lawan kini dilihat cuba menafikan dokongan pengundi kepada calon BN.

“Insya-Allah, kita mempertahankan Pelangai kerana kita yakin pengundi di sini amat dekat dengan BN. Mereka mahu perkhidmatan terbaik oleh seorang ADUN yang dapat bersama kerajaan negeri dan Pusat.

“Malah, saya berharap rakyat Pelangai bijak seperti Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dan buat keputusan tempat pilih seorang wakil rakyat yang dapat beri kesinambungan perkhidmatan sebelum ini.

“Saya harap, mereka menolak calon yang tidak dapat memberi perkhidmatan tidak selari dengan Putrajaya dan Pahang,”  katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFuture Jobs bersama Hawa Malaysia di Dataran Ilmu Felda Chemomoi di sini hari ini.

Kerusi N36 Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

PRK DUN Pelangai kali ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang masing-masing turun dengan misi wajib menang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN meminta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor agar fokus kepada masalah banjir yang berlaku di negeri itu, bukannya sibuk berkempen di Pelangai.

“Saya yakin beliau dapat berikan perkhidmatan terbaik kepada mangsa banjir. Jangan sibuk ke sana sini, jaga rakyat sendiri.

“Saya harap isu yang dibawa beliau tidak lekat di hati pengundi Pelangai, walaupun saya tahu beliau cuba bawa isu latar belakang peneroka untuk benci kerajaan Putrajaya dan Pahang,” katanya.

Beliau juga mendoakan 1,452 mangsa banjir membabitkan 400 keluarga dapat ditangani Muhammad Sanusi dengan baik.

Mengulas keluhan penduduk Pelangai agar sebuah bank diwujudkan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu sedangkan diusahakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, mereka mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar agar sebuah cawangan bank komersial dapat diwujudkan untuk melakukan transaksi kewangan dan urusan lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya