KANGAR: Tindakan sindiket pemalsuan surat bagi permohonan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) terbongkar menerusi Ops Serkap yang dilaksanakan Jabatan Imigresen (Imigresen) negeri di Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat di sini semalam.
Menerusi operasi pada pukul 10 pagi itu, sindiket itu didapati berselindung di sebuah rumah yang dijadikan madrasah bagi mengajar al-Quran buat anak-anak etnik Rohingya.
Pengarah Imigresen negeri, Khairul Amin Talib berkata, berdasarkan siasatan, madrasah tersebut merupakan lokasi sindiket terlibat menjalankan aktiviti pemalsuan berkenaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Hasil rujukan dengan pejabat UNHCR, surat-surat berkenaan didapati palsu dan Imigresen turut menahan pasangan suami isteri etnik Rohingya yang dipercayai merupakan dalang sindiket ini bagi siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Amin berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menerima permohonan itu melalui aplikasi media sosial atau menyerahkan sendiri surat berkenaan kepada pemohon di madrasah itu.
Katanya, setelah dokumen berkenaan lengkap, suspek akan memuat naik dokumen tersebut melalui aplikasi Whatsapp atau mana-mana laman sosial lain untuk dicetak sendiri oleh pemohon dengan bayaran RM50.
“Hasil pemeriksaan ke atas komputer riba suspek turut mendapati sebanyak lebih kurang 200 orang warga etnik Rohingya telah dikeluarkan dokumen palsu itu untuk kegunaan luar negeri ini. Rumah yang didiami suspek untuk dijadikan madrasah itu juga disewa dengan harga RM600 sebulan dan dibayar oleh komuniti Rohingya,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Amin berkata, antara barangan yang dirampas dalam operasi itu adalah membabitkan dua komputer riba, dua telefon bimbit, sebuah tablet, dua buku rekod bayaran proses surat UNHCR, wang tunai berjumlah RM5,300 dan beberapa lagi.
Tambahnya, suspek lelaki yang merupakan guru agama berusia 30 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 56 (1A) (b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) manakala isterinya berusia 24 tahun ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Suspek berkenaan telah direman selama 14 hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya. – UTUSAN