Beratur sejak 8 pagi serbu Jualan Rahmah cari beras, telur

Beratur sejak 8 pagi serbu Jualan Rahmah cari beras, telur

PENDUDUK menyerbu Program Jualan Rahmah di Bandar Baru, Gua Musang, Kelantan bagi mendapatkan bekalan beras.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk menyerbu Program Jualan Rahmah Kasih Sayang anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Bandar Baru di sini untuk mendapatkan barangan makanan asas lebih murah daripada harga pasaran setempat.

Difahamkan 1,000 kampit beras seberat 5 kilogram (kg) dan 10kg disediakan kepada pengguna yang hadir ke jualan tersebut.

Seorang penduduk, Zuraini Abdullah, 40, berkata, dia beratur seawal pukul 8 pagi untuk mendapatkan beras tempatan berikutan bekalan makanan asas tersebut kini sukar didapati di pasaran.

Menurutnya, walaupun jualan hanya dibuka pukul 9.30 pagi ia bukan menjadi masalah kepada penduduk di situ.

“Harga telur gred C mencecah RM13 sepapan di kedai runcit biasa, tetapi di sini untuk gred yang sama ia dijual RM11 sepapan.

“Alhamdulillah program ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban rakyat. Saya harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang terutama di kawasan luar bandar yang penduduknya rata-rata terdiri daripada golongan B40,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Isa Ahmad, 45, berkata, Program Jualan Rahmah sangat dinantikan penduduk luar bandar kerana dapat membantu mereka berjimat.

Katanya, dia perlu mengeluarkan belanja lebih RM100 untuk membeli barangan dapur bagi menampung keperluan seminggu. 

“Kalau di kedai runcit harga beras tempatan seberat 10kg lebih RM40, tetapi pada program Jualan Rahmah harganya RM36.

“Saya yang bekerja kampung terpaksa berkira-kira untuk membeli kerana harga kebanyakan barangan meningkat. Saya terpaksa membeli maggi dan bihun yang harganya lebih murah bagi menampung keperluan beras untuk bekalan makanan keluarga,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya